Monday, October 26, 2009

Media Perlu Utama Tanggungjawab Sosial

Wartawan muda wajar elak laporan jejas keharmonian masyarakat, hubungan dua negara


HAKIKATNYA, tiada kebebasan mutlak bagi media di mana saja, hatta Amerika Syarikat sekali pun yang kononnya lantang menyuarakan mengenainya. Semua pihak sedar dan faham bahawa kebebasan tanpa had yang tidak terkawal boleh mendatangkan mudarat kepada masyarakat. Lebih parah lagi jika kebebasan itu boleh mengeruhkan hubungan antara negara, seperti apa yang berlaku membabitkan media di Indonesia baru-baru ini.

Mainan sesetengah akhbar di Indonesia, sejak akhir-akhir ini terhadap beberapa isu boleh mengeruh dan menggugat hubungan serantau yang sudah terjalin erat. Mereka dengan bebas melaporkan apa saja isu di Malaysia tanpa memikirkan kesannya sedangkan sewajarnya media berperanan memperkukuh, mempertaut dan menguatkan lagi hubungan antara kerajaan dan rakyat.


Natijah keterlanjuran laporan media tanpa rasa tanggungjawab dan batas kebebasan etika kewartawanan membuatkan ia bertambah buruk. Ternyata kebebasan akhbar Malaysia dan Indonesia jauh berbeza.

Perkara ini diakui Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Mior Kamarul Shahid, yang menyatakan media di Indonesia bebas menulis apa saja berita berbanding Malaysia yang mempunyai batasan, sesuai dengan tanggung jawab dan etika kewartawanan. Katanya, hubungan antara kerajaan kedua-dua negara tiada masalah, tetapi tidak kepada rakyatnya.

Justeru, hubungan antara media Malaysia dan Indonesia perlu dipereratkan lagi dengan kenal mengenal antara satu sama lain supaya dapat berkongsi pandangan pemberitaan. Mior Kamarul mendapati wujud dua kumpulan iaitu veteran dan golongan muda, yang saling mempunyai pandangan dan latar belakang berbeza di negara terbabit.

"Kumpulan veteran lebih tahu latar belakang sejarah negara, manakala golongan muda pula lebih mengetahui mengenai hal komersial. Jika pemerintah tidak benarkan sesuatu isu dikeluarkan, itulah yang akan menjadi bahan untuk dikeluarkan. Malah, isu remeh-temeh seperti yang dianggap tiada nilai berita menjadi topik utama dan diulang. Ini tidak berlaku di Malaysia, media mempunyai tanggungjawab sosial dan lebih bertanggungjawab dalam membuat laporan serta tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

"Berita Harian umpamanya, tidak memperbesar-besarkan isu tertentu yang boleh menimbulkan kontroversi dan lebih bertanggungjawab, termasuk isu mengenai hubungan antara Malaysia-Indonesia," katanya ketika menjadi ahli panel pada Persidangan Antarabangsa Hubungan Malaysia-Indonesia 2009 (Media-Budaya), anjuran Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), baru-baru ini.

Beliau berkata, media Indonesia akan mencari isu sensasi untuk melariskan akhbar berikutan edaran akhbar di negara itu yang semakin menurun. Situasi sama di Malaysia, berita berbentuk sensasi lebih memikat hati pembaca. Contohnya, akhbar Harian Metro, hari pertama diterbitkan hanya 14,000 sehari tetapi sekarang sudah menjangkau edaran 400,000 sehari kerana memaparkan berita lebih sensasi. Bagi akhbar arus perdana pula pemberitaannya berbeza iaitu lebih kepada tanggungjawab sosial.

Sementara itu, Prof Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Abdul Latif Abu Bakar, berkata pembinaan hubungan Malaysia sebagai negara serumpun dapat diaplikasikan melalui media yang digunakan sebagai platform dalaman untuk melahirkan pemikiran daripada pelbagai lapisan masya-rakat.

Apa yang penting adalah etika kewartawanan dapat mencorakkan berita yang benar-benar telus dan bermoral.

"Media memainkan fungsi penting untuk menyebarkan berita bagi awam. Berita yang bersifat sensasi, provokatif dan tidak berlandaskan fakta akan mengeruhkan keadaan," katanya.

Akhbar di Malaysia tidak sebebas di negara Barat, tetapi lebih baik berbanding China, Asia Barat, negara blok komunis dan negara bekas komunis. Bagaimanapun, kebebasan dimiliki media Malaysia sekarang luas untuk bergerak.

Abdul Latif berkata, banyak cerita kontroversi dan buruk berkaitan Malaysia boleh ditangani dengan kerjasama menerusi program bersifat serumpun supaya masing-masing mampu memainkan peranan mendidik terhadap senario sebenar sesuatu perkara. Justeru, beliau mencadangkan supaya diadakan program kerjasama antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO), wartawan, ahli akademik, belia, pelajar dalam bidang tertentu antara kedua-dua negara.

Pada masa sama, 'dana khas serumpun' wajar ditubuhkan untuk membiayai program secara menyeluruh membabitkan pelbagai kategori antara dua negara dirancang sebagai acara tahunan untuk memperkukuhkan hubungan. Ketika ini, tidak pernah ada program kesetiakawanan dianjurkan sehingga masing-masing saling salah faham terhadap sesuatu isu dibangkitkan.

"Kita juga berharap supaya pihak kedutaan kedua-dua negara mewujudkan atase penerangan yang boleh dirujuk berkaitan pelbagai isu berbangkit," katanya.

Ketua Komisi Hukum dan Perundangan-undangan Dewan Pers yang juga Radaktur Kanan Harian Neraca, Wina Armada Sukardi, berkata akhbar di republik itu memang mempunyai pengaruh yang besar sejak dari awal lagi kerana amat berjasa serta berperanan terhadap perjuangan kemerdekaan Indonesia. Akhbar di Indonesia, katanya, dianggap mempunyai nilai perjuangan serta menjadi pembentuk dan pengawal pemerintah serta menentukan sistem politik.

"Oleh itu, Presiden Indonesia juga tidak mampu mengendalikan akhbar, kerana ia menentukan segala-galanya dan menjadi 'watchdog' (pemerhati)," katanya ketika membentangkan kertas kerja Memahami Kemerdekaan Pers Indonesia Sisi lain Hubungan Malaysia-Indonesia. Akhbar di negara itu juga banyak dan tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Bagaimanapun setiap akhbar seperti Kompas atau Tempo mempunyai gaya dan pendekatan pemberitaan yang berbeza.

Lazimnya, akhbar arus perdana di negara itu melaporkan berita yang lebih bertanggungjawab berbanding yang kecil.

Beliau berkata, akhbar itu dianggap sebagai milik semua rakyat di negara itu tanpa mengira peringkat dan lapisan masyarakat. Namun, kebebasan akhbar itu boleh terganggu oleh akhbar yang tidak profesional dan tidak beretika.

Profesor Jabatan Pengajian Media, UM, Prof Madya Datin Dr Hasmah Zanuddin pula menyifatkan kehadiran media baru seperti blog juga menjadi medium yang lebih terbuka kepada generasi muda untuk meluahkan apa saja pandangan tanpa batasan kesopanan. Dalam kertas kerja bertajuk Impak akhbar dalam talian dan blog terhadap hubungan orang Malaysia-Indonesia, beliau berkata, ketamadunan dan nilai sosiobudaya tidak dititikberatkan dengan menghentam, mengkritik dan memaki hamun mengenai isu dingin antara kedua-dua negara semahunya.

Provokasi antara generasi muda dianggap sebagai unsur tidak sihat dari segi pemikiran. Kajian di Indonesia juga mendapati generasi muda tidak merasai kesan buruk mengenai apa dicetuskan media di negara itu berbanding generasi veteran. "Justeru, mereka lebih berani, nakal dan memprovokasi sesuatu isu. Mereka boleh saling balas membalas terhadap pandangan di dalam blog," katanya.

2 comments: