Wednesday, March 24, 2010

Cadangan Wajib BM Kepada Pelajar Asing


Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Bina hubungan baik dengan masyarakat setempat

NILAI: Kementerian Pengajian Tinggi sedang membuat kajian untuk mewajibkan subjek Bahasa Melayu kepada pelajar asing bagi membina hubungan lebih baik antara pelajar itu dengan masyarakat setempat, kata Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, pelajar terbabit akan mengambil Bahasa Melayu untuk tujuan komunikasi, supaya mereka faham percakapan orang lain ketika keluar membeli barang di kedai atau sebagainya.

“Kita bukan wajibkan mereka ambil Bahasa Melayu ilmiah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penubuhan Kolej Universiti Linton dalam kawasan Kolej Lagenda di Mantin dekat sini semalam. Semalam Kolej Linton mendapat pengiktirafan daripada kementerian bagi membolehkan institusi dari Ipoh itu dinaikkan ke taraf kolej universiti.

Mohamed Khaled berkata, sekurang-kurangnya pelajar asing boleh bercakap bahasa Melayu dan ini boleh membantu mereka memberi penjelasan kepada anggota keselamatan jika timbul masalah apabila ditahan akibat masalah komunikasi dengan orang tempatan.

Sementara itu, beliau meminta masyarakat negara ini mengubah persepsi buruk terhadap pelajar asing kerana sumbangan mereka terhadap pembangunan negara ini cukup banyak.

Mohamed Khaled berkata, masyarakat negara ini salah sangka apabila menganggap kebanyakan pelajar ini yang sebahagiannya dari Afrika serta Asia Barat menyumbang kepada kadar jenayah, sedangkan peratus mereka yang terbabit sangat kecil.
Katanya, kebanyakan mereka datang dari negara kurang membangun dan mahu belajar sesuatu daripada institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Beliau berkata, masyarakat harus ingat, pada awal kemerdekaan kerajaan menghantar ramai anak watan belajar di luar negara dan bayangkan jika mereka ini dilayan dengan buruk sudah tentu Malaysia terus ketinggalan.

“Kita sudah lalui pada masa itu dan sekarang ini giliran orang lain, keduanya kita harus faham bahawa mereka orang asing dan tetap memberi sumbangan kepada ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata, persepsi untuk menerima pelajar dari mana-mana benua sekali pun perlu kerana kedatangan mereka adalah satu pengiktirafan betapa kukuhnya dan kuatnya penyediaan ilmu yang kita dapat sediakan. – Bernama