Monday, October 26, 2009

BAJET 2010 RESPONSIF KEPADA SUARA MAHASISWA

KUANTAN 25 Okt. – Bajet 2010 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin merupakan bajet responsif kepada suara mahasiswa kerana sebahagian besar peruntukan adalah bagi perkara-perkara yang asalnya disuarakan oleh golongan itu.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, perkara tersebut disuarakan kepada kerajaan melalui beberapa saluran seperti Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelas Saifuddin, ia juga disuarakan secara langsung dalam pertemuan antara golongan mahasiswa dengan Perdana Menteri.

Beliau berkata, melalui MPPK yang dianggotai oleh semua perwakilan pelajar dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), mahasiswa telah menyuarakan perkara-perkara yang menyentuh kehidupan mereka dan juga masalah negara.

“Kita minta mahasiswa memanfaatkan peruntukan tersebut sebaik-baiknya. Pada masa sama kita minta mereka terus bersuara menggunakan landasan sedia ada,” katanya.

Saifuddin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri dialog dengan mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Kampus UIAM Kuantan, Profesor Dr. Ridzuan Hashim; Pengarah Pentadbirannya, Mohamad Azmi Ismail dan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UIAM Kuantan, Mohd. Anwar Md. Yassin.

Dalam Bajet 2010, Perdana Menteri antara lain mengumumkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ditukar kepada biasiswa bagi pelajar yang mendapat ijazah kelas pertama.

No comments:

Post a Comment