Wednesday, September 30, 2009

SUDOKU COMPETITION UM 2009



Buat julung-julung kalinya Kolej Kediaman Ungku Aziz(KUAZ) telah mengadakan Sudoku Competition UM 2009 pada 29 September 2009 jam 8 malam bertempat di Dewan Pendeta KUAZ. Program ini dikendalikan oleh JKP Akademik & Intelektual (ADIN) dengan kerjasama Kedai Koperasi Universiti Malaya(KKUM) dan Sudoku.com.my. Objektif utama program intelektual ini dilaksanakan adalah untuk mencungkil bakat bermain Sudoku di kalangan mahasiswa/i Universiti Malaya serta menggalakkan budaya persaingan yang sihat di kalangan mahasiswa/i di dalam suasana yang harmoni. Penyertaan yang diterima amatlah menggalakkan kerana program ini telah menerima lebih 90 pendaftaran yang terdiri daripada mahasiswa/i yang menetap di kolej- kolej kediaman Universiti Malaya. Pengarah bagi progam ini,saudara Sim Cheng Kok juga merupakan Bendahari JTK dan Ketua Kaum Cina di KUAZ .

Majis dirasmikan oleh wakil pengetua KK11, Cik Fakhriatul Azhan dan Pengarah Urusan Sudoku.com.my,En. N Balasingam

Selain itu, majlis ini diserikan lagi dengan kehadiran Pengarah Urusan Sudoku.com.my, Encik N. Balasingam. Sudoku.com.my adalah sebuah syarikat yang mengendalikan acara dan pertandingan Sudoku di seluruh Malaysia. Format pertandingan juga telah ditetapkan secara professional, telus dan intelektual oleh syarikat berkenaan. Masa yang telah ditetapkan ialah 75 minit bagi menyelesaikan enam set Sudoku. AJK program ini telah menunjukkan komitmen yang tinggi sejak awal semester lagi bagi menjayakan program ini.

para peserta tekun menyelesaikan set sudokuwajah-wajah pemenang

Hadiah- hadiah telah disampaikan oleh Encik N. Balasingam dan Pengetua KUAZ, Prof. Madya Dr. Abdul Jalil bin Othman. Hadiah saguhati diberikan kepada 20 orang peserta. Tempat ketiga diraih oleh saudara Ng Kong Han dari kolej 4, tempat kedua oleh saudara See Mey Lee dari kolej 7 dan tempat pertama dimenangi oleh saudara Ho Jyh Bang dari kolej 3 dengan catatan masa 29 minit 35 saat. Menurut En. Balasingam, program seperti ini wajar diteruskan lagi di kalangan mahasiswa/i kerana ia sangat sesuai bagi mengasah minda dan menguji sejauh mana tahap fokus diri seseorang. Oleh yang demikian, ia dapat membantu mahasiswa/i untuk lebih fokus ketika di dalam bilik kuliah dan pembelajaran. Rata- rata peserta berpuas hati dengan layanan mesra yang diberikan oleh AJK program. Diharap program- program berbentuk intelektual dan santai seperti ini diperbanyakkan lagi bagi menjana suasana persaingan yang sihat di kalangan mahasiswa/i.

gambar kenangan pentadbiran kolej,En. N balasingam,AJK program dan sebahagian peserta

ZIARAH KE KOLEJ IBNU SINA(KEENAM)

Pada 29 September 2009, SPKUM telah menziarahi kolej kediaman keenam ekoran daripada kes kecurian yang berlaku pada sebelum dan semasa cuti raya yang lalu.Presiden Kolej ke-6,saudara Tajul Iqmal Tajul Arus telah menyambut wakil SPKUM dengan penuh ramah dan mesra sekali.Beliau menerangkan bahawa 2 kes kecurian dan pecah masuk telah berlaku sebelum cuti raya dan 5 kes lagi berlaku semasa semua mahasiswa/i pulang ke kampung halaman untuk berhari raya.Semua kes ini berlaku di blok mahasiswi.Difahamkan sistem CCTV buat ketika ini tidak berfungsi kerana kerja-kerja penambahbaikan sedang giat dijalankan di kolej berkenaan. Presiden kolej 6,saudara Tajul menunjukkan blok yang dipecah masuk


Memerhatikan keadaan persekitaran Kolej Ibnu Sina yang majoritinya dihuni oleh pelajar fakulti perubatan,boleh dikatakan bahawa kolej berkenaan memang terdedah kepada kes kecurian kerana ia berdekatan dengan PPUM.kemungkinan besar pencuri boleh memasuki kolej ke-6 melalui laluan tersebut.Saudara Tajul menambah lagi terdapat kemungkinan pencuri itu mengetahui dan agak mahir dengan selok-belok jalan di kolej.SPKUM melahirkan kekecewaan kerana pagar tingkap di blok baru sahaja dipasang selepas kes kecurian dan pecah masuk berlaku.SPKUM berpendapat sepatutnya semua langkah keselamatan telah diambil lebih awal sebelum kejadian buruk seperti ini berlaku.Seorang penyelia kolej sempat bertemu dengan wakil SPKUM dan mengucapkan terima kasih dan berharap agar SPKUM sentiasa turun padang prihatin dengan masalah serta kebajikan mahasiswa/i di kolej kediaman. Dari kiri:Presiden KK12- Farid,Presiden KK6-Tajul,Jurucakap SPKUM & Presiden KK11-Fahmi,Presiden KK1-Amirul Aizat,Presiden KK3-Zaim

Disamping itu,pihak SPKUM mengharapkan agar kawalan keselamatan lebih ketat dilakukan di semua kolej kediaman supaya keselamatan mahasiswa/i terjamin dan semoga insiden seperti ini tidak akan berulang lagi.SPKUM telah mencadangkan agar anggota pejabat keselamatan UM diletakkan di semua kolej kediaman.Kawalan keselamatan yang longgar akan meningkatkan lagi kes-kes jenayah di dalam varsiti tercinta ini.Sebelum wakil SPKUM beredar,saudara Tajul selaku Presiden kolej ke-6 mengucapkan terima kasih kepada SPKUM kerana prihatin dengan kes-kes yang berlaku di kolej kediaman.SPKUM akan berusaha memperjuangkan kebajikan dan keselamatan mahasiswa/i di kolej- kolej kediaman.SPKUM juga menasihatkan mahasiswa/i sentiasa menjaga keselamatan diri dan barang-barang di bilik.pastikan bilik anda sentiasa berkunci dan laporkan kepada pihak keselamatan jika terdapat anasir- anasir yang mencurigakan.

"MAHASISWA PENGGERAK MASYARAKAT"

Thursday, September 17, 2009

SELAMAT MENYAMBUT AIDILFITRI


Kami barisan pimpinan kolej-kolej kediaman Universiti Malaya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri serta maaf zahir & batin kepada semua warga kampus.sambutlah Syawal dengan penuh rasa keinsafan dan sucikan hati dari segala dosa.

Wednesday, September 16, 2009

16 Sept. sepatutnya dihargai


SESETENGAH warga Malaysia mungkin tidak sedar bahawa hari ini adalah ulang tahun penubuhan Persekutuan Malaysia ke-46. Hari ini juga ada yang langsung lupa tentang ulang tahun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-76.

Satu tarikh tetapi ada dua peristiwa penting berlaku pada hari ini - 16 September. Tanggal 16 September bagi masyarakat awam adalah seperti hari biasa. Sebab hari ini bukan cuti umum sebagaimana kita bercuti untuk menyambut Hari Kemerdekaan pada setiap 31 Ogos.

Jadi tidak hairanlah jika 16 September tidak membawa apa-apa makna bagi kebanyakan rakyat di Semenanjung Tanah Melayu. Mereka lebih mengingati 31 Ogos daripada 16 September. Tetapi tarikh ini memberi makna yang besar kepada kebanyakan rakyat di Sabah dan Sarawak.

Hari ini genap 46 tahun Sabah dan Sarawak merdeka melalui penubuhan Malaysia. Sejak 2008, tanggal 16 September setiap tahun akan diingati sebagai Hari Malaysia.

Dengan perisytiharan ini diharap mengubah sikap kurang sedar oleh sebilangan besar rakyat tentang tarikh pembentukan Malaysia. Ini terjadi kerana kita lebih mengingati tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 berbanding dengan tarikh kemerdekaan Sabah dan Sarawak bersama Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura pada 16 September 1963. Tetapi Singapura keluar daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965.

Barangkali untuk rakyat mengingati tarikh ini maka wajar 16 September dijadikan hari cuti umum di Sabah, Sarawak dan Labuan bagi mengenang hari penubuhan Malaysia.

Lebih-lebih lagi tiada program sambutan secara besar-besaran dianjurkan di seluruh negara pada tarikh tersebut sejak dahulu lagi. Oleh itu bukan pelik tarikh bersejarah ini berlalu tanpa timbul rasa perbezaan dengan hari-hari biasa. Oleh kerana tarikh 16 September jatuh dalam bulan Ramadan, umat Islam berpuasa maka tiada sambutan diadakan.

Jika tahun-tahun terdahulu, Hari Malaysia disambut - itu pun kerana meraikan majlis penutupan Bulan Kemerdekaan dan ia hanya diadakan di negeri yang menjadi tuan rumah sambutan itu sahaja. Liputan yang diberikan oleh pihak media juga kurang meluas.

Apakah benar sesetengah rakyat negara ini tidak menghargai tarikh bersejarah 16 September 1963? Jangan salahkan pandangan bahawa kita sendiri mendiskriminasi tarikh 16 September berbanding tarikh 31 Ogos, sedangkan kedua-dua tarikh itu sama penting dalam lipatan sejarah negara.

Atau rakyat Malaysia lebih mengingati 16 September sebagai tarikh cadangan penubuhan kerajaan baru seperti dicanangkan oleh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim tahun lalu.

Mujur tarikh itu tidak mencipta sejarah kerana ia hanya satu impian Anwar semata-mata. Sebab itu, kerajaan wajar mengangkat Hari Malaysia setaraf dengan tarikh 31 Ogos agar tarikh terbentuknya negara kita lebih dihayati, dikenang dan dihargai oleh seluruh rakyat.

Hubungan antara kaum yang dilihat agak longgar sejak dua tahun kebelakangan ini perlu dipulihkan.

Jika tarikh 16 September dijadikan cuti umum maka elok hari tersebut diadakan acara yang memupuk perpaduan kaum termasuk melibatkan kaum-kaum di Sabah dan Sarawak. Tarikh terbentuknya Malaysia perlu lebih dihayati, dikenang dan dihargai bukan sahaja oleh rakyat Sabah dan Sarawak tetapi seluruh rakyat Malaysia.

Tarikh itu wajar dikenang sebagai detik bersejarah kepada Malaysia kerana ia merupakan hari lahirnya sebuah negara baru di rantau ini.

Pada 16 September 1963 , Tunku Abdul Rahman Putra mengisytiharkan penubuhan Persekutuan Malaysia bagi menggantikan Persekutuan Tanah Melayu.

Pembentukan Malaysia itu membolehkan Singapura, Sabah dan Sarawak memperoleh kemerdekaan daripada British melalui Malaysia.

Berdasarkan geopolitik Asia Tenggara pada tahun-tahun 1960-an, penyatuan itu lebih bertujuan untuk menjamin perpaduan, kemakmuran dan keselamatan bersama terutama daripada ancaman komunis.

Dalam proses pembentukannya, gagasan itu ditentang oleh Filipina dan Indonesia. Beberapa tahun lalu Manila mengisytihar tidak akan menuntut Sabah yang berada dalam Malaysia.

Tetapi berlainan dengan Indonesia, masih ada api dalam sekam yang masih berbara. Dalam kempen pembersihan rakyat Malaysia di Indonesia sejak tiga minggu lalu pemerhati politik Datuk Hashim Suboh berpandangan, rakyat kita perlu sentiasa kekal matang, cerdik, bijaksana dan rasional.

"Rakyat Indonesia khususnya politikus, karyawan media, pemimpin NGO dan mahasiswa sebenarnya baru mula bernafas dalam udara demokrasi.

"Mereka yang ghairah tentang hak, ketelusan dan keterbukaan ini akan lambat-laun menyedari bahawa di alam realitinya bangsa Indonesia tidak boleh dimajukan dengan sajian politik retorik semata-mata," jelas Hashim ketika dihubungi.

Dalam konteks hubungan Malaysia-Indonesia, kata beliau, adalah penting untuk kita tidak lagi bersentimental dengan mereka. Buang jauh-jauh hubungan secara abang-adik kerana kita dan mereka pasti mudah terguris dan tercalar oleh sesuatu perkara berbanding dengan pola hubungan bersama rakan-rakan yang berdiri sama tinggi.

Kini terbukti penyertaan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia adalah suatu keputusan yang tepat dan terbukti membawa rahmat besar kepada rakyat dan kedua-dua negeri.

Dengan bukti kemajuan dan nikmat pembangunan yang dikecapi hari ini, tidak ada pihak boleh menafikan kewajaran penyertaan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia.

Kestabilan politik, kemakmuran sosial dan kemajuan ekonomi yang dikecapi sejak merdeka menerusi Malaysia 46 tahun lalu, jelas berjaya mengubah landskap kedua-dua negeri di Pulau Borneo itu.

Menurut Hashim yang juga Naib Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, kejayaan memajukan negara secara seimbang tanpa membiarkan mana-mana negeri atau daerah tertinggal, daif dan kelihatan seolah-olah terabai dan dipinggirkan mestilah dijadikan matlamat utama mana-mana kerajaan dan mereka yang diangkat menjadi pemimpin kerajaan.

Konsep federalisme perlu dihayati sepenuhnya biarpun kita bersaing habis-habisan di pentas politik. Sementara politik dan demokrasi perlu dimatang dan dimurnikan, Malaysia sesungguhnya kini memerlukan persekitaran politik yang lebih kondusif, cerdik, beradab dan saling menghormati di antara kerajaan-kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

"Bagi Sabah dan Sarawak mungkin telah tiba masanya parti-parti politik berasaskan negeri dinaikkan taraf atau diserapkan menjadi parti politik bertaraf nasional jika benar kita semua inginkan Malaysia yang satu dan holistik," kata Hashim.

Kecenderungan untuk melihat Semenanjung, Sabah dan Sarawak sebagai entiti yang berada dalam petak atau kompartmen yang berasingan telah terhakis dengan cukup jelas sebaik-baik sahaja kita menghentikan penggunaan istilah Malaysia Barat untuk merujuk Semenanjung dan Malaysia Timur untuk Sabah dan Sarawak.

"Ia tambah dimantapkan lagi apabila Kerajaan Persekutuan membuat keputusan menyeragamkan waktu yang memberikan kesan psikologi yang cukup besar kepada seluruh rakyat tentang 'kesatuan' kita.

"Pada masa yang sama kelonggaran peraturan kemasukan rakyat dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak turut membantu melenyapkan perasaan 'keterasingan' yang amat tidak perlu itu.

"Supaya perasaan itu terus terhapus mungkin lebih wajar perkataan Semenanjung juga tidak perlu digunakan lagi selepas ini. Sebaliknya kita boleh terus merujuk identifikasi geografi kepada negeri atau bandar yang telah kita gunakan dengan selesa di luar perkataan Sabah dan Sarawak," jelas Hashim.

Tuesday, September 15, 2009

Mahasiswa Tolak Fitnah


Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia

Kebelakangan ini banyak isu-isu berbaur fitnah telah dimainkan dan telah dimanipulasikan oleh sesetengah pihak yang nyata dan jelas bermotif jahat iaitu cubaan untuk menggugat kestabilan pimpinan JIK/JTK kolej kediaman.

Fitnah yang dilemparkan nyata songsang daripada kebenarannya apabila satu per satu isu bingkas dijawab dan diperjelaskan oleh pimpinan jtk kolej kediaman bagi membuktikan bahawa pimpinan mahasiswa menolak sekeras-kerasnya unsure fitnah dan tidak akan memberi ruang untuk penyebaran fitnah berlaku secara berleluasa.

Syabas dan tahniah kepada barisan Saketeriat Presiden Kolej Kediaman UM (SPKUM) atas tindak proaktif dan professional anda dalam mematahkan setiap isu-isu yang tidak benar ini.

Saya menjangkakan hal ini mungkin disebabkan bahang pemilihan MPMUM yang diwar-warkan bakal diadakan tidak lama lagi dan cara ini mungkin bagi mereka yang mempunyai pemikiran sendat adalah cara terbaik bagi mereka meraih undi pelajar.

Akan tetapi, sayangnya langkah yang mereka aturkan nyata sumbang malah saya anggap mereka sebenarnya telah mencemarkan bulan Ramadhan yang mulia ini dengan taburan fitnah tanpa usul periksa.

Apa guna mereka memperjuangkan agar kerajaan menolak konsert rock yang bakal diadakan semasa bulan mulia ini jika mereka membenarkan fitnah ditabur sesuka hati mereka, adakah ini ajaran Islam?

Sedih untuk menyatakan tetapi saya yakin mereka yang melakukan ini semua sesungguhnya faham dan hebat dalam hukum-hukum agama serta mempunyai ilmu pengetahuan tinggi dalam bidang agama.

Tetapi sayangnya, niat mereka sudah mengaburi ilmu yang selama ini ditimba dengan menghalalkan apa-apa cara sekalipun demi meraih sokongan dan mendapat simpati daripada mahasiswa UM.

Dalam Al-Quran terdapat 60 ayat yang menyebutkan tentang fitnah yang mengandungi dua maksud iaitu ujian atau cubaan dan satu lagi bermaksud perbuatan penganiayaan seperti penyeksaan, pertuduhan, pembunuhan, mendatangkan bencana dan sebagainya.

Membuat tuduhan jahat terhadap seseorang adalah merupakan penganiayaan yang lebih dahsyat daripada pembunuhan seperti yang ditegaskan Allah sebanyak 2 kali dalam Surah Al-Baqarah, ayat 191 yang bermaksud: “ ... dan fitnah itu lebih besar bahayanya dari pembunuhan...” dan Surah Al-Baqarah, ayat 217 yang bermaksud: “ ... dan fitnah itu lebih besar dosanya dari pembunuhan...”.

Seperti tahun-tahun yang lalu juga, pelbagai jenis fitnah dilemparkan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab daripada isu rasuah hingga yang melibatkan rumah Allah.

Hal yang demikian menampakkan kejayaan kepada mereka apabila mereka berjaya ’memenangi’ pemilihan tersebut dengan bantuan 2 orang tambahan.

Oleh itu, saya dapat simpulkan modus operandi yang sama bakal dijalankan akan tetapi ia jelas telah dimulakan jauh lebih awal, kononnya ingin memberi kesedaran kepada mahasiswa yang mereka prihatin akan masalah di kolej kediaman.

Sedarlah wahai pembawa fitnah bahawa setiap yang benar akan sentiasa menampakkan kebenarannya walaupun sehebat mana anda memanipulasikan isu mahupun fakta yang anda perolehi.

Saya bersimpati terhadap rakan-rakan pembawa fitnah ini kerana mungkin mereka tidak berpeluang mendapat kesempatan hidup harmoni di kolej-kolej kediaman dan oleh sebab itu, mereka melemparkan fitnah dalam komuniti kolej kediaman bagi menimbulkan suasana tegang di antara penghuni.

Saya yakin dan percaya mahasiswa sudah mampu membuka mata mereka menilai antara berita yang benar mahupun palsu dan berbaur fitnah kerana rata-rata yang ditimbulkan adalah perkara yang dialami oleh setiap pelajar.

Dengan ini, saya mencabar agar penyebar fitnah ini tampil kehadapan jika dia benar-benar berani dan melampirkan bukti dan fakta atas tuduhan yang telah dia lemparkan ke atas kolej-kolej kediaman sebelum ini.

Saya juga menyeru kepada seluruh mahasiswa tidak kira Universiti Malaya mahupun mana-mana universiti tempatan mahupun luar negara agar bijak menilai suatu berita dan jangan terus mempercayainya tanpa merujuk kepada sumber-sumber yang lain.

Akhir sekali, di penghujung Bulan Ramadhan yang mulia ini, saya mengajak rakan-rakan yang telah menyimpang agar bertaubat sebenar-benar taubat dan meninggalkan perbuatan terkutuk yang telah anda lakukan selama ini serta menginfakkan masa yang ada ini untuk Allah serta memohon keampunan bukan sahaja pada Allah malah pada mereka yang telah anda fitnah.

Ingin saya tegaskan mahasiswa sekarang adalah mahasiswa yang bijak dan kami pimpinan yang sentiasa memperjuangkan aspirasi mahasiswa menolak sekeras-kerasnya gejala fitnah, malah kami akan menegakkan keadilan demi menjaga kesejahteraan kampus ini.

UM is ONE! Towards 1Malaysia!

Hasil Nukilan,

Muhammad Hafizzuddin,
JIK Kolej Kediaman Pertama 09/10,
Mantan Presiden Kolej Kediaman Pertama 08/09.

Monday, September 14, 2009

Kebobrokan UM-TODAY!!! Penjelasan isu Prof Madya Dr Sharifuddin Zainuddin, Pengetua KK3


Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera

UM-TODAY semakin menampakkan kegersangan idea untuk mempromosikan laman tersebut yang sekarang ini diisikan dengan siri-siri fitnah terhadap kolej-kolej kediaman UM. Keterdesakan publisiti murahan yang dibuat mereka semakin menjadi-jadi. Kini, Pengetua Kolej Kediaman Ketiga Profesor Madya Dr Sharifuddin Zainuddin pula yang menjadi mangsa.

Benar, beliau jarang turun ke program-program, namun kekangan kesihatan yang dialami oleh Dr Sharifuddin dan isteri menyebabkan beliau tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap kolej. Kami di pihak mahasiswa KK3 amat memahami kesulitan yang dihadapi oleh beliau dan isteri. Disebabkan oleh itu, beliau sering meminta bantuan Penyelia-penyelia untuk mewakilkan beliau ke program-program. Kami percaya beliau merupakan seorang pengetua yang bertanggungjawab dan tidak lepas tangan terhadap tugas-tugas beliau kerana beliau masih menjalankan tugas-tugas pengetua dengan baik. Percayalah jika tiada kekangan kesihatan beliau pasti tidak akan rasa penat untuk turun dan turut serta dalam setiap program kerana dahulu beliau dikenali sebagai seorang pengetua yang mesra pelajar.

Isu tentang kewangan kolej yang misteri yang digembar-gemburkan oleh um-today tidak perlu dijelaskan kerana ia adalah isu lapuk yang sering difitnahkan kepada KK3 setiap kali tiba Pilihanraya kampus. Defisit yang berlaku adalah disebabkan kenaikan harga barang mentah di pasaran semasa dan perkara ini berlaku di setiap kolej yang mempunyai dewan makan. Cuba bayangkan setiap pelajar hanya membayar RM 3.50 untuk 3 kali makan setiap hari. Tapi tidak hairanlah jika um-today tidak mengetahui perkara sebenar, kerana mereka tidak cuba langsung untuk memahami ketika tinggal di kolej semasa tahun pertama!.

Projek pendawaian blok C yang dilakukan di KK3 adalah tiada kaitan langsung dengan body Pengetua KK3. Projek tersebut adalah di bawah kendalian sepenuhnya JPPHB yang mana menukar tarikh pengubahsuaian semasa tempoh belajar.

Akhir sekali, saya mengharapkan um-today menghentikan semua fitnah-fitnah yang hanya menonjolkan lagi kelemahan kalian, tapi menguatkan lagi perpaduan di antara kami!. Tidak perlu saya mengulas panjang kerana kami tidak akan terjerumus ke dalam kancah fitnah anda. Kepada Mahasiswa-mahasiswi KK3 yang disayangi, selidiklah dahulu khabar-khabar angin yang datang kerana saya percaya anda semua adalah mahasiswa/i yang bijak menilai!. Jika anda mempunyai masalah teruslah merujuk kepada JIKJTK, tidak perlulah menyumbangkan modal kepada um-today yang hanya pandai memfitnah dan beromong-omong kosong.

Kepada um-today, kami meminta anda membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Profesor Madya Dr Sharifuddin Zainuddin diatas fitnah yang dilontarkan kepada beliau.

Menjana Mentaliti Intelektual

Hidup Mahasiswa!

Muhamad Zaim Mohamed Nor

Presiden Kolej Kediaman Ketiga

Agen SPKUM.

Sunday, September 13, 2009

PENJELASAN KEPADA BERITA PALSU UM-TODAY BERKENAAN ISU "KK12, mahasiswa ditipu lagi!"


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Um-today telah menyebarkan berita tentang mahasiswa kk12 ditipu lagi. Persoalan di sini, Apa yang ditipu kk12 kepada mahasiswa? Apakah um-today tidak menipu mahasiswa/i dengan berita mereka yang semuanya tidak tepat dan palsu? Pada 7september menyerang kk5, kemudian 12 september menyerang kk11 dan kini tiba giliran kk12 pula. (Next??)

Apakah mereka menyelidik sedalam-dalamnya mengenai isu ini dahulu sebelum menyebarkannya? Kalau tidak tahu cerita yang sebenar, tolong diam dan jangan sebarkan maklumat yang salah sehingga boleh menggugat ketenteraman kolej kediaman ke-12.!! Jangan hanya tahu menunding jari dan menuduh yang bukan-bukan.

Memang benar ada perbincangan untuk menstrukturkan majalah kolej ini buat julung-julung kalinya di bawah sidang redaksi, Kelab Media KK12. Dan untuk makluman, harga untuk majalah ini masih dalam perbincangan. Belum ada harga yang di tetapkan lagi sehingga jawatankuasa yang terlibat dapat mencari syarikat yang memberikan harga termurah untuk kos majalah tersebut.

Kalau benar ada unsur penipuan, tampil kedepan dan sertakan bukti yang pentadbiran kk12 menipu mahasiswa/i KK12. Jangan menjadi hero hanya memperdaya orang ramai dengan maklumat palsu melalui laman maya ini saja. Sangat yakin, puak-puak ini cuba memecahbelahkan mahasiswa/i dengan cara menaikkan kemarahan dengan berita-berita palsu ini.

Saya sangat yakin, isu ini sengaja dibangkitkan untuk menjatuhkan imej JTK/JIK KK12 disamping ingin meraih sokongan mudah melalui kemarahan mahasiswa/i melalui maklumat yang palsu ini!!.Untuk si penyebar fitnah ini, tolong bertindak sebagai seorang profesional untuk menyelesaikan masalah ini. Saya menganggap si penyebar maklumat ini bacul! Kalau benar beliau berani, mengapakah tidak mengeluarkan lagsung pendapat ketika mesyuarat tersebut berlangsung! Walhal kemudiannya menyalurkan maklumat(yang salah pula tu) kepada um-today dan paparkan kepada khalayak ramai sehingga menjadi perbalahan sesama mahasiswa/i itu sendiri.

Saya juga meminta supaya um-today memohon maaf kerana cuba mengaibkan bendahari dan timbalan bendahari kk12. Agak kecewa kerana cuba mengaibkan seseorang itu dengan cara mudah sebegini. Sepanjang saya berada di kolej ini, kedua-dua penyelia ini mempunyai rekod yang baik dan tiada keraguan dalam urusan mereka.

Saya nasihatkan kepada semua pihak terutama mahasiswa/i, bukalah minda dan carilah jalan yang terbaik untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul. Janganlah kita terus bertindak melulu apabila mendengar sesuatu perkara yang tidak pasti akan kebenarannya lagi. Siasatlah dulu ketulenan dan keaslian cerita tersebut dari terus terkejar-kejar menyebarkan fitnah dan maklumat palsu seperti ini sehingga mampu menaikkan rasa tidak puas hati di kalangan mahasiswa/i.

p/s:
1.Kuatkan ibadah di Bulan Ramadhan ini untuk mendekatkan diri dengan Allah s.w.t. Elakkan menabur fitnah dan membawa berita yang tidak pasti akan kebenarannya.
2. Elakkan mengeluarkan sesuatu isu fitnah hingga mampu memeahbelahkan mahasiswa/i dan umat manusia.
3. Semoga Allah membuka pintu hati mereka2 ini untuk bertaubat dan memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat.
4. JTK/JIK duduk kolej berbayar jugak, JTK/JIK bukan duduk free goyang kaki.Bilik sama besar dengan yang lain, kalau majalah bayar mahal, JTK/JIK juga bayar mahal. (xkan JTK/JIK nak duduk diam tengok saja apa berlaku?!!)

"FIGHT FOR THE RIGHT"

Salam.

-Ayed-
Presiden
JTK KK12
UM.

13/09/09 08:47 am

Friday, September 11, 2009

JAWAPAN KEPADA FITNAH DARIPADA um-today.com


UM-TODAY hari ini menyatakan bahawa wang zakat anak yatim di seleweng di KK11.Ribuan ringgit yang diberikan Pusat Zakat(sebenarnya Bahagian Baitulmal MAIWP,Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan) dikatakan untuk kegunaan dan kepentingan diri sendiri di KK11.

Ini semua FITNAH belaka dan tiada kebenaran langsung atas perkara ini.Sejumlah wang yang bakal diterima itu(belum dapat pun lagi) ingin disalurkan kepada organisasi projek tersebut adalah UNTUK MENJALANKAN PROGRAM IFTAR JAMAIE BERSAMA ANAK-ANAK YATIM, bukan untuk DIAGIHKAN KEPADA ANAK YATIM. Ia adalah perkara yang berbeza di situ.Jadi wang tersebut tidak disonglap satu sen pun oleh pentadbiran KK11.Sejumlah wang tersebut hanya untuk menjayakan program bersama anak-anak yatim seperti pemberian sejumlah wang,penyediaan khemah,juadah berbuka puasa,cenderamata dan lain-lain yang diuruskan oleh pentadbiran kolej serta organisasi projek!Program tersebut bukanlah untuk JIK JTK atau pentadbiran KK11,tetapi semuanya untuk anak-anak yatim semata-mata.Perkara ini juga telah diberitahu kepada pegawai MAIWP.

Isu JIK JTK mengugut pelajar tahun satu itu juga tiada kebenarannya.Isu ini hanya untuk menjatuhkan 'kekuatan' JIK JTK KK11. Semua ini mungkin salah faham.Adakah kerana permainan politik mereka berkata begini?Pihak JIK/JTK mengucapkan terima kasih kepada pihak yang menyebarkan laporan palsu ini. Penghuni kolej ke-11 lebih mengenali JIK JTK serta pentadbiran kolej.Selain itu,lebih menyedihkan lagi fitnah ini berlaku di dalam bulan Ramadhan. Fikirlah wahai mahasiswa! sebarkan...

"Sesungguhnya, Zakat untuk orang-orang Fakir; Miskin, Amil, Muallaf, Riqab, Gharimin, Fisabilillah dan Ibnissabil. Adalah kewajipan yang ditentukan Allah, dan Allah maha mengetahui lagi bijaksana." -
At-Taubah: 60

Fisabilillah - Mereka yang berjuang kerana Allah, demi kebaikan masyarakat.Fisabilillah meliputi semua perkara yang baik, terutama usaha-usaha dalam membantu memperjuangkan agama Allah. Gaji pegawai dakwah bagi membantu unit strategik masjid, asatizah dan pendidikan Islam.

Yang Bertanggungjawab,

Fahmi Bin Adilah,
Presiden Kolej Kediaman Ungku Aziz,
Jurucakap SPKUM 2009/2010.

Sunday, September 6, 2009

MINGGU KERANG@MK



salam..

rasanya masih belum terlambat untuk saya, mewakili seluruh ahli produksi REDAKSI mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-52.

seperti tahun-tahun sebelumnya, KKTB masih lagi mengekalkan tradisi dengan mengadakan satu projek iaitu MiNGGU KEMERDEKAAN (MK). bezanya pada tahun ini, MK telah jatuh dalam bulan puasa. sehubungan dengan, itu semua aktiviti telah dirombak.

untuk pengetahuan semua, kali ini MK muncul dengan satu lagi idea yang bakal menempatkan KKTB dalam The Malaysia Book Of Record dengan menghasilkan logo 1MALAYSIA terpanjang dengan menggunakan kulit kerang.

pada masa ini, semua ahli pr0jek MK dan juga penghuni KKTB sama-sama bertungkus-lumus untuk merealisasikan impian tersebut. kata orang, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. sehubungan dengan itu, marilah kita sama-sama menghulurkan bantuan supaya kerja-kerja menyiapkan l0g0 tersebut siap tepat pada masanya.

sebelum mengakhiri post ini, ingin saya sampaikan kata-kata dari pengarah projek minggu kemerdekaan KKTB, saudara Amalul, 'Hargailah apa yang kita ada, jgn calitkan kedamaian dengan sengketa'.

sekian...

jumpa lagi pada masa akan datang..

Friday, September 4, 2009

MENGGILAP ERTI SEBENAR KEMERDEKAAN


TEMPOH 52 tahun merdeka merupakan jangka masa yang memadai untuk mematangkan setiap warga di negara merdeka ini. Seharusnya tempoh ini menjadi sesuatu yang bermakna untuk rakyat Malaysia menggilap semangat patriotik atau hubbu'l watan (cintakan negara).

Daripada segi makna, patriotisme membawa erti cinta dan rasa tanggungjawab terhadap negara dan bangsa. Perasaan tersebut adalah suatu yang positif serta digalakkan oleh Islam, bahkan Islam telah menetapkan beberapa garis panduan untuk mencapai objektif patriotisme tersebut.

Malah menurut pandangan Islam juga, berbakti kepada negara dan bangsa adalah suatu yang sangat dituntut.

Seorang cendekiawan Islam tersohor, Muhammad Iqbal turut memberi pandangan yang positif terhadap patriotisme.

Dalam satu perhimpunan di India beliau berkata: "Patriotisme merupakan satu kebajikan yang benar-benar selaras dengan fitrah manusia dan mempunyai tempat di dalam kehidupan moral manusia. Namun yang merupakan kepentingan sebenarnya adalah keyakinan manusia, kebudayaannya dan tradisinya. Inilah hal-hal yang merupakan erti yang harus dibawa hidup dan dibawa mati, bukan sejengkal tanah di mana jiwa manusia dihubungkan untuk sementara waktu."

Sehubungan itu juga, pada masa yang sama kita dikelirukan dengan apa yang dikenali sebagai nasionalisme. Muhammad Iqbal dan seorang lagi tokoh, Ismail Faruqi menolak nasionalisme. Bagi Ismail, nasionalisme merupakan ethnocentrism yang kemudiannya melahirkan rasisme yang melampau.

Sementara Muhammad Iqbal pula menolak nasionalisme seperti amalan di Barat iaitu yang berasaskan kebendaan dan menolak kehidupan beragama serta sangat berbahaya kepada kehidupan manusia.

Namun satu hakikat yang perlu difahami ialah sifat berubah-ubahnya erti dan isi nasionalisme itu sendiri mengikut perubahan zaman dan tempat.

Sebagai contoh, Imam Hassan al Banna, menggunakan kedua-dua kalimah patriotisme dan nasionalisme (wataniyyah dan qaumiyyah) dengan menyelaraskan kalimah-kalimah dan penggunaannya sesuai dengan tuntutan dan nilai Islam.

Beliau telah menerima apa yang dinamakan sebagai wataniyyatu 'l-hanin (cintakan negara), wataniyyatu 'l-hurriyyah wa 'l 'izzah (menjunjung nilai-nilai kemerdekaan dan kehormatan), wataniyyatu 'l-fath (semangat juang untuk mengembangkan Islam).

Pada masa yang sama beliau menolak wataniyyatu 'l-hizbiyyah (dasar yang memecah-belahkan ummah supaya mereka saling bermusuhan).

Sementara yang berkaitan dengan nasionalisme atau al-qaumiyyah pula, Imam Hassan al-Banna menerima apa yang diistilahkan sebagai qaumiyyatu 'l-majd, iaitu pendirian yang menghargai dan mengambil pengajaran contoh-contoh terbilang generasi terdahulu, dan juga qaumiyyatu 'l-ummah, iaitu pendirian yang mengutamakan pengorbanan terhadap umat atau kaum kerabat.

Sementara itu, beliau menolak fahaman qaumiyyatu 'l-jahiliyyah iaitu nasionalisme yang berusaha menghidupkan semula budaya jahiliah dan berusaha melepaskan kehidupan dari ikatan Islam.

Beliau menolak fahaman qaumiyyatu 'l-udwan iaitu nasionalisme yang berasaskan kesombongan, ketinggian dan ego diri sehingga membawa kepada penindasan dan pencabulan hak-hak manusia yang lain.

Selain itu, kefahaman terhadap nasionalisme ini juga perlu diperhalusi lagi supaya ia tidak dikelirukan dengan nasionalisme sekular - meletakkan tanah air di atas segalagalanya, hatta agama sekalipun.

Sesungguhnya mencintai tanah air adalah suatu yang baik dan Islamik, tetapi rasa cinta ini mestilah dijelmakan sebagai cinta kepada hakikat sebenar atau cinta rohaniah yang ada kaitan dengan kecintaan kepada Allah SWT.

Allahyarham Dr. Burhanuddin Hilmi mungkin dapat dijadikan contoh sebagai pejuang tanah air dan nasionalis yang berjaya menepati tuntutan pengabdian kepada Allah SWT. Pada masa yang sama berjaya mencurah bakti kepada tanah air.

Kefahaman yang beliau bawa terhadap fahaman Melayu Kebangsaan adalah suatu yang tidak terpisah daripada tuntutan agama. Perjuangan beliau telah berjaya mengangkat fahaman nasionalisme yang mengutamakan prinsip Ketuhanan Yang Maha Esa, bersifat adil dan berjiwa persaudaraan sejagat. Pada masa yang sama juga beliau menolak fahaman nasionalisme lain yang dianggap sempit, menindas dan terasing.

Maka dengan itu, pada kesempatan merayakan sambutan kemerdekaan Malaysia kali yang ke-52 ini, penting bagi kita semua untuk kembali menggarap kefahaman terhadap kemerdekaan ini dengan lebih mendalam dan mantap.

Islam membawa pengertian yang jauh lebih menyeluruh dan lebih menggarap permasalahan sebenar. Islam mahu kemerdekaan di mana kalimah Allah lebih tinggi dari segala kalimah. Kemerdekaan insan adalah muqaddimah kepada segala bentuk kemerdekaan yang lain.

Perjuangan kemerdekaan memerlukan jiwa kental yang hanya dapat dibekalkan oleh Islam, iaitu jiwa yang memiliki pandangan dan memahami dimensi perjuangan dan bebanan yang harus dipikul.

Mereka yang memahaminya dalam konteks 'ubudiah dan kewajiban menegakkan Islam secara sempurna sahaja yang sanggup berkorban untuk satu perjuangan yang panjang. Perjuangan untuk kemerdekaan kemanusiaan seluruhnya bukan sekadar perjuangan untuk mendapat sebidang tanah atau kepuasan membalas dendam kepada penjajah.

Negara bangsa yang ditubuhkan atas dasar wataniah atau tanah air semata-mata dan dengan fahaman kebangsaan yang sempit dan kabur hanya akan mempunyai kedaulatan untuk mengurus hal-hal kebajikan rakyat semata-mata. Adapun hal-hal yang berkaitan politik, pendidikan, keamanan dan ekonomi, maka ia akan terus berada di bawah telunjuk hegemoni kuasa tunggal dunia.