Friday, November 20, 2009

IPT boleh cepatkan proses industrialisasi negara

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Institusi pengajian tinggi (IPT) boleh membantu mempercepatkan proses industrialisasi negara di samping meningkatkan nilai modal insan secara berterusan.

Sehubungan itu, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, IPT perlu menjalinkan jaringan kerjasama berstruktur dengan pihak industri dan perdagangan supaya wujud kesesuaian di antara kedua-dua pihak terutama dari segi tenaga kerja.

"Ini bagi memastikan modal insan yang dihasilkan dari IPT menepati dan memenuhi kehendak serta keperluan industri dan perdagangan sesuai dengan keadaan semasa.

"Ini kerana IPT tidak lagi boleh dianggap tempat untuk menimba ilmu teori semata-mata tetapi berperanan besar mewujudkan hubungan erat dengan industri juga ," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Interaksi Universiti Utara Malaysia (UUM) Bersama Majikan 2009 yang turut dihadiri Naib Canselor UUM, Tan Sri Dr. Nordin Kardi di sini hari ini

Rafidah yang merupakan profesor adjung di Kolej Perniagaan UUM berkata, IPT perlu memastikan siswazah yang dilahirkan mempunyai daya kebolehpasaran yang tinggi selain mempunyai pengetahuan terkini mengenai industri dan perdagangan.

"Pihak IPT perlu memahami dinamisme dan perubahan di dalam profil pasaran dan persaingan industri supaya dapat disesuaikan dengan kurikulum, latihan serta pendekatan pengajaran," katanya.

Rafidah berkata, sepanjang berkhidmat di dalam kerajaan dan melibatkan sektor industri serta perdagangan, beliau menerima banyak maklum balas daripada sektor itu mengenai siswazah-siswazah tempatan yang adakalanya langsung tidak dapat memenuhi keperluan pasaran semasa.

"Antara kekurangan yang selalu diperkatakan adalah tahap kefahaman bahasa Inggeris yang amat penting dalam sektor industri hari ini.

"Selain itu, wujud jurang yang nyata antara apa yang dipelajari siswazah di IPT dengan apa yang mereka aplikasi apabila menyertai sektor industri dan perdagangan," katanya.

Katanya, ia jelas menunjukkan konsep kebolehpasaran siswazah amat berkait rapat dengan sejauh mana keupayaan dan kebolehan seseorang itu dapat diterima baik di dalam pasaran terutama sektor industri dan perdagangan pada hari ini.

Sunday, November 15, 2009

RM760,000 bantu pelajar di Padang

KUALA LUMPUR 14 Nov. - Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM760,000 kepada 380 pelajar Malaysia yang menuntut di Padang, Sumatera sebagai sumbangan akibat bencana gempa bumi Oktober lalu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peruntukan tersebut diumumkan kepada pihaknya selepas Kabinet memberi kelulusan baru-baru ini.

Beliau berharap sumbangan itu dapat membantu meringankan beban para pelajar yang turut terlibat dalam kejadian gempa bumi.

''Setiap seorang akan mendapat kira-kira RM2,000. Bagaimanapun, wang tersebut masih belum diberikan lagi kepada pelajar kerana Kabinet baru sahaja luluskan.

''Kerajaan memang berhasrat untuk menyumbang sendiri kepada pelajar. Kita tidak mahu menggunakan duit sumbangan daripada kutipan orang ramai kerana itu khusus untuk mangsa-mangsa bencana,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Kepimpinan Global Rakan Muda Malaysia di sini hari ini.

Khaled berkata, sehingga hari ini, kira-kira 170 pelajar negara ini yang mengikuti pengajian di Padang telah kembali ke kampus masing-masing untuk melanjutkan pelajaran.

Menurutnya, kementerian tidak melarang para pelajar terbabit untuk pulang menyambung pengajian di Indonesia, malah pihaknya juga tidak memaksa mereka melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi tempatan.

Mengenai tahap keselamatan para pelajar yang ingin meneruskan pengajian di Padang, kata Khaled, kerajaan akan memantapkan lagi usaha menguatkuasakan Prosedur Operasi Standard (SOP) di Padang.

Jelas beliau, langkah tersebut bagi memastikan Kerajaan Malaysia sentiasa siap sedia jika berlaku sebarang bencana.

''Kita bukan mengharapkan bencana tetapi memandangkan Indonesia merupakan negara yang terdedah dengannya, maka kita perlu bersiap sedia,'' jelasnya.

Wednesday, November 11, 2009

Kajian OKU di IPT siap akhir tahun-Khaled

Kajian mengenai isu dan perjuangan hak pelajar daripada golongan orang kurang upaya (OKU) di institusi pengajian tinggi (IPT) negara ini, dijangka siap hujung tahun ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kajian yang bermula Mei lalu itu diharap dapat membantu kementeriannya melakukan penambahbaikan dalam usaha membantu mahasiswa OKU.

Beliau memberitahu, antara matlamat kajian itu adalah meninjau keberkesanan pelaksanaan Akta OKU 2008, khususnya di kalangan pelajar OKU di peringkat IPT.

''Ia juga diharap dapat mewujud dan meningkatkan kesedaran di peringkat IPT terhadap keperluan serta kemudahan yang disediakan kepada mahasiswa OKU.

''Selain itu, matlamat kajian juga untuk mengkaji isu dan permasalahan mahasiswa OKU di IPT,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pertemuan Alumni Pelajar Khas Politeknik Johor Bahru di Pasir Gudang di sini semalam.

Majlis itu bertujuan menghimpun dan menghargai bekas-bekas pelajar khas politeknik tersebut yang terdiri daripada golongan OKU.

Monday, November 9, 2009

JTK Bukan 'Playsafe'.


Mengulas lanjut mengenai kenyataan beberapa pihak yang menyatakan jawatankuasa tindakan kolej (JTK) dan jawatankuasa induk kolej (JIK) ‘senyap’ dan ‘playsafe’ dalam menangani isu pelajar berkaitan masalah renovasi blok B dan D di kolej kediaman Bestari dilihat satu propaganda pihak tidak bertanggungjawab untuk mengkucar kacirkan kedamaian dan keharmonian di kolej kediaman Bestari ini.

Untuk menjawab beberapa kenyataan yang telah diutarakan oleh pihak yang menggelarkan diri mereka Persatuan Penghuni Menderita(PPM) dan sehingga kini tidak pernah menunjukkan diri mereka dan hanya berani menyebarkan poster dan risalah sahaja.

Pihak JTK sendiri tidak pernah menerima sebarang surat yang telah dihantar oleh mana –mana pelajar mengenai isu renovasi ini.

Manakala perjumpaan pelajar dengan pihak pengurusan yang telah diadakan pada 3 November yang lalu sememangnya telah dirancang lebih awal dan bukan atas dasar terdesak seperti yang diwarwarkan. Perjumpaan ini segera diaturkan oleh pihak JTK selepas segala aspek mengenai kedudukan pemindahan pelajar ke dari blok B ke blok C dan blok A diambil kira dan permohonan kepada JPPHB untuk menyiapkan semua proses renovasi blok D pada hujung bulan Disember bagi mengelakkan pelajar lelaki terpaksa berpindah ke blok pelajar perempuan yang akhirnya boleh mendatangkan kepadatan penghuni di kedua-dua blok bangunan terbabit.

Pihak pengurusan kolej yang faham akan situasi ini turut mengambil langkah untuk memohon penundaan tarikh penyerahan blok B dan D untuk tujuan renovasi yang sepatutnya berlangsung lebih awal kepada 23 November 2009 bagi memastikan semua pelajar kolej kediaman Bestari ini berada dalam keadaan selesa sehingga peperiksaan akhir semester selesai.

Renovasi Blok B dan D ini adalah sangat penting sebagaimana yang telah dilakukan terhadap blok A dan C pada semester lepas.Hal ini kerana memandangkan usia bangunan yang agak tua dan struktur asal kekuda yang menyokong bumbung adalah terlalu berat dan agak lama adalah sangat berbahaya kepada struktur bangunan dan penghuni yang mendiami bangunan tersebut.Selain itu pendawaian semula pada kedua-dua blok ini adalah satu langkah selamat bagi masa hadapan berikutan peningkatan penggunaan kuantiti voltan pada masa sekarang .

Saya merasakan,kenyataan dari Exco Kolej Kediaman dan Penginapan Luar Kampus iaitu saudara Mohd Fadzil Bin Jamal yang mencadangkan proses penaiktarafan ini dilakukan pada cuti akan datang adalah kurang relevan kerana ia melibatkan pembaziran masa,kerana kolej kediaman terpaksa menghadapi suasana renovasi sebanyak dua kali dan perpindahan pelajar juga akan berlaku dua kali juga.

Berkaitan dengan kewujudan pihak persatuan penghuni menderita(PPM) di kolej ini,saya amat yakin ia hanya di anggotai oleh beberapa orang yang bergerak dalam kelompok kecil dan bertujuan untuk menghuru harakan keadaan.Saya menyatakan demikian kerana,mereka hanya berani untuk menyebarkan risalah dan poster sahaja,tetapi tidak berani untuk menyalurkan ketidakpuashatian mereka melalui saluran yang betul iaitu dengan cara menulis dan memasukkan cadangan mereka ke dalam peti cadangan ataupun untuk lebih mudah bersemuka sendiri dengan JTK mahupun pihak pengurusan.

“ Kami dipihak JTK masih menunggu pengakuan dari “pengerusi dan AJK” PPM tentang sebaran poster dan risalah tersebut dan mengadakan perbincangan mengenai kehendak sebenar mereka. ’Janganlah hanya menjadi seorang yang hanya pandai membaling batu dan sembunyi tangan sahaja. Jika mereka merasakan tindakan mereka ini adalah benar, sila bersemuka supaya isu ini dapat diselesaikan segera.

Sebagai seorang mahasiswa, kita harus sentiasa memikirkan apa yang boleh kita sumbangkan terhadap kemajuan kolej kediaman,universiti dan negara dan bukan sekadar memikirkan apa yang pihak kolej kediaman, universiti dan negara boleh berikan kepada kita.

Ini perlu diaplikasikan dalam kehidupan kita seharian, kerana pada masa hadapan, kita juga akan menjadi sebahagian daripada masyarakat dan jika kita terus bersikap hanya meminta sahaja tanpa pernah bersyukur nescaya kita akan terus ketinggalan dalam arus masyarakat yang sentiasa mengejar arus kemajuan.

Akhir kata,kami pihak JTK dan JIK sentiasa berusaha keras tanpa mengira waktu untuk memastikan kebajikan,keselesaan dan permintaan pelajar dapat dipenuhi,termasuklah penyelesaian isu dewan santapan dan isu keselamatan mahasiswi.Hanya kami harap sedikit kesabaran daripada semua rakan warga kolej sementara semua keperluan ini dapat dipenuhi.


“ILMU HENDAKLAH TINGGI,HATI BIARLAH RENDAH”

Yang Bertanggungjawab,

Mohd Aiman bin Amat Kusin

Presiden Kolej Kediaman Bestari(4).

Tuesday, November 3, 2009

HASIL PERBINCANGAN ISU DEWAN MAKAN

Isu dewan makan kolej-kolej kediaman dilihat mendapat perhatian pelbagai pihak.SPKUM sendiri telah menjalankan kajian dengan mengedarkan borang soal selidik di kolej kediaman ke-3,4,5,7,8 dan 9 untuk mengetahui respon mahasiswa mengenai isu tersebut.Suatu perjumpaan dengan Ayahanda TNC HEPA dan En. Aziz bin Lisot,Pegawai HEP yang menjaga hal ehwal kolej kediaman telah dilaksanakan. Jurucakap SPKUM dan juga Presiden KK11,saudara Fahmi bin Adilah telah berjaya menyerahkan hasil kajian yang telah dilakukan dan statistik berikut telah diserahkan kepada Ayahanda TNC HEPA untuk dikaji,dikembang dan tindakan susulan.

Untuk pengetahuan, Universiti Malaya mempunyai 8 buah kolej kediaman yang mempunyai dewan makan iaitu kolej 1,2,3,4,5,6,7 dan 8. Buat mahasiswa yang menetap di kolej kediaman 1,2 dan 6, dewan makan TIDAK AKAN DITUTUP. Ini bermakna sistem operasi dewan makan yang sedia ada akan diteruskan. Bagi kolej kediaman 3,4,5,7 dan 8, isu ini masih di peringkat perbincangan dan hasil kajian yang dilakukan oleh SPKUM akan dibawa ke Mesyuarat Pengetua dan seterusnya ke Mesyuarat Dewan Asrama-Asrama(DAA) yang dipengerusikan oleh Naib Canselor. Keputusan seterusnya akan diputuskan oleh Lembaga Pengurusan Universiti(LPU).

Situasi di kolej ke-9 berbeza kerana kolej itu baru sahaja menutup operasi dewan makan sesi ini.
Hasil daripada kajian, 83% responden yang terdiri daripada mahasiswa kolej kediaman ke-9 mahukan sistem dewan makan beroperasi semula. Suara rintihan mahasiswa ini telah pun kami serahkan kepada Ayahanda dan En. Aziz Lisot. Pihak pengurusan kolej 9 sendiri akan menyerahkan laporan berkenaan ketiadaan isu dewan makan dalam masa terdekat ini. Hasil kedua-dua laporan daripada SPKUM dan pengurusan kolej 9 ini akan dijadikan kayu pengukur dalam menentukan samada dewan makan akan ditutup atau tidak.

Berdasarkan laporan SPKUM, hasil yang didapati adalah berbeza mengikut situasi dan keadaan di kolej kediaman masing- masing.Terdapat sebilangan besar yang mahukan dewan makan tidak ditutup dan terdapat juga sebilangan yang mahukan sistem operasi dewan makan ditutup. Hal ini kerana keadaan,persekitaran dan mahasiswa itu sendiri berbeza mengikut kolej kediaman masing- masing.

Walaubagaimanapun, diharap apa jua keputusan yang diambil tidak akan sesekali membebankan mahasiswa. Bagi mahasiswa yang menetap di kolej kediaman yang tidak mempunyai dewan makan seperti 9,10,11 dan 12, isu mengenai peningkatan taraf perkhidmatan kafe-kafe juga telah diutarakan. Perkhidmatan yang bermutu dan efisien hendaklah dilaksanakan oleh setiap pengusaha kafe-kafe di kolej kediaman.Harga yang ditetapkan juga hendaklah bersesuaian dengan kondusi mahasiswa.

SPKUM berharap agar semua pihak bertenang dan tidak terburu-buru dalam menyelesaikan permasalahan ini.SPKUM tidak menjanjikan untuk menjadi pahlawan ulung di universiti ini,tetapi kami menjanjikan bahawa suara mahasiswa,suara keramat. Kita dapat saksikan bagaimana Presiden kolej berhempas pulas,JTK/JIK berjuang dalam membela nasib,keluhan dan rintihan mahasiswa.SPKUM ingin menegaskan bahawa isu ini hendaklah dilihat daripada sudut yang positif dan tidak diperalatkan oleh mana-mana pihak.

MAHASISWA PENGGERAK MASYARAKAT