Tuesday, September 15, 2009
Mahasiswa Tolak Fitnah
Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia
Kebelakangan ini banyak isu-isu berbaur fitnah telah dimainkan dan telah dimanipulasikan oleh sesetengah pihak yang nyata dan jelas bermotif jahat iaitu cubaan untuk menggugat kestabilan pimpinan JIK/JTK kolej kediaman.
Fitnah yang dilemparkan nyata songsang daripada kebenarannya apabila satu per satu isu bingkas dijawab dan diperjelaskan oleh pimpinan jtk kolej kediaman bagi membuktikan bahawa pimpinan mahasiswa menolak sekeras-kerasnya unsure fitnah dan tidak akan memberi ruang untuk penyebaran fitnah berlaku secara berleluasa.
Syabas dan tahniah kepada barisan Saketeriat Presiden Kolej Kediaman UM (SPKUM) atas tindak proaktif dan professional anda dalam mematahkan setiap isu-isu yang tidak benar ini.
Saya menjangkakan hal ini mungkin disebabkan bahang pemilihan MPMUM yang diwar-warkan bakal diadakan tidak lama lagi dan cara ini mungkin bagi mereka yang mempunyai pemikiran sendat adalah cara terbaik bagi mereka meraih undi pelajar.
Akan tetapi, sayangnya langkah yang mereka aturkan nyata sumbang malah saya anggap mereka sebenarnya telah mencemarkan bulan Ramadhan yang mulia ini dengan taburan fitnah tanpa usul periksa.
Apa guna mereka memperjuangkan agar kerajaan menolak konsert rock yang bakal diadakan semasa bulan mulia ini jika mereka membenarkan fitnah ditabur sesuka hati mereka, adakah ini ajaran Islam?
Sedih untuk menyatakan tetapi saya yakin mereka yang melakukan ini semua sesungguhnya faham dan hebat dalam hukum-hukum agama serta mempunyai ilmu pengetahuan tinggi dalam bidang agama.
Tetapi sayangnya, niat mereka sudah mengaburi ilmu yang selama ini ditimba dengan menghalalkan apa-apa cara sekalipun demi meraih sokongan dan mendapat simpati daripada mahasiswa UM.
Dalam Al-Quran terdapat 60 ayat yang menyebutkan tentang fitnah yang mengandungi dua maksud iaitu ujian atau cubaan dan satu lagi bermaksud perbuatan penganiayaan seperti penyeksaan, pertuduhan, pembunuhan, mendatangkan bencana dan sebagainya.
Membuat tuduhan jahat terhadap seseorang adalah merupakan penganiayaan yang lebih dahsyat daripada pembunuhan seperti yang ditegaskan Allah sebanyak 2 kali dalam Surah Al-Baqarah, ayat 191 yang bermaksud: “ ... dan fitnah itu lebih besar bahayanya dari pembunuhan...” dan Surah Al-Baqarah, ayat 217 yang bermaksud: “ ... dan fitnah itu lebih besar dosanya dari pembunuhan...”.
Seperti tahun-tahun yang lalu juga, pelbagai jenis fitnah dilemparkan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab daripada isu rasuah hingga yang melibatkan rumah Allah.
Hal yang demikian menampakkan kejayaan kepada mereka apabila mereka berjaya ’memenangi’ pemilihan tersebut dengan bantuan 2 orang tambahan.
Oleh itu, saya dapat simpulkan modus operandi yang sama bakal dijalankan akan tetapi ia jelas telah dimulakan jauh lebih awal, kononnya ingin memberi kesedaran kepada mahasiswa yang mereka prihatin akan masalah di kolej kediaman.
Sedarlah wahai pembawa fitnah bahawa setiap yang benar akan sentiasa menampakkan kebenarannya walaupun sehebat mana anda memanipulasikan isu mahupun fakta yang anda perolehi.
Saya bersimpati terhadap rakan-rakan pembawa fitnah ini kerana mungkin mereka tidak berpeluang mendapat kesempatan hidup harmoni di kolej-kolej kediaman dan oleh sebab itu, mereka melemparkan fitnah dalam komuniti kolej kediaman bagi menimbulkan suasana tegang di antara penghuni.
Saya yakin dan percaya mahasiswa sudah mampu membuka mata mereka menilai antara berita yang benar mahupun palsu dan berbaur fitnah kerana rata-rata yang ditimbulkan adalah perkara yang dialami oleh setiap pelajar.
Dengan ini, saya mencabar agar penyebar fitnah ini tampil kehadapan jika dia benar-benar berani dan melampirkan bukti dan fakta atas tuduhan yang telah dia lemparkan ke atas kolej-kolej kediaman sebelum ini.
Saya juga menyeru kepada seluruh mahasiswa tidak kira Universiti Malaya mahupun mana-mana universiti tempatan mahupun luar negara agar bijak menilai suatu berita dan jangan terus mempercayainya tanpa merujuk kepada sumber-sumber yang lain.
Akhir sekali, di penghujung Bulan Ramadhan yang mulia ini, saya mengajak rakan-rakan yang telah menyimpang agar bertaubat sebenar-benar taubat dan meninggalkan perbuatan terkutuk yang telah anda lakukan selama ini serta menginfakkan masa yang ada ini untuk Allah serta memohon keampunan bukan sahaja pada Allah malah pada mereka yang telah anda fitnah.
Ingin saya tegaskan mahasiswa sekarang adalah mahasiswa yang bijak dan kami pimpinan yang sentiasa memperjuangkan aspirasi mahasiswa menolak sekeras-kerasnya gejala fitnah, malah kami akan menegakkan keadilan demi menjaga kesejahteraan kampus ini.
UM is ONE! Towards 1Malaysia!
Hasil Nukilan,
Muhammad Hafizzuddin,
JIK Kolej Kediaman Pertama 09/10,
Mantan Presiden Kolej Kediaman Pertama 08/09.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment