Friday, September 4, 2009

MENGGILAP ERTI SEBENAR KEMERDEKAAN


TEMPOH 52 tahun merdeka merupakan jangka masa yang memadai untuk mematangkan setiap warga di negara merdeka ini. Seharusnya tempoh ini menjadi sesuatu yang bermakna untuk rakyat Malaysia menggilap semangat patriotik atau hubbu'l watan (cintakan negara).

Daripada segi makna, patriotisme membawa erti cinta dan rasa tanggungjawab terhadap negara dan bangsa. Perasaan tersebut adalah suatu yang positif serta digalakkan oleh Islam, bahkan Islam telah menetapkan beberapa garis panduan untuk mencapai objektif patriotisme tersebut.

Malah menurut pandangan Islam juga, berbakti kepada negara dan bangsa adalah suatu yang sangat dituntut.

Seorang cendekiawan Islam tersohor, Muhammad Iqbal turut memberi pandangan yang positif terhadap patriotisme.

Dalam satu perhimpunan di India beliau berkata: "Patriotisme merupakan satu kebajikan yang benar-benar selaras dengan fitrah manusia dan mempunyai tempat di dalam kehidupan moral manusia. Namun yang merupakan kepentingan sebenarnya adalah keyakinan manusia, kebudayaannya dan tradisinya. Inilah hal-hal yang merupakan erti yang harus dibawa hidup dan dibawa mati, bukan sejengkal tanah di mana jiwa manusia dihubungkan untuk sementara waktu."

Sehubungan itu juga, pada masa yang sama kita dikelirukan dengan apa yang dikenali sebagai nasionalisme. Muhammad Iqbal dan seorang lagi tokoh, Ismail Faruqi menolak nasionalisme. Bagi Ismail, nasionalisme merupakan ethnocentrism yang kemudiannya melahirkan rasisme yang melampau.

Sementara Muhammad Iqbal pula menolak nasionalisme seperti amalan di Barat iaitu yang berasaskan kebendaan dan menolak kehidupan beragama serta sangat berbahaya kepada kehidupan manusia.

Namun satu hakikat yang perlu difahami ialah sifat berubah-ubahnya erti dan isi nasionalisme itu sendiri mengikut perubahan zaman dan tempat.

Sebagai contoh, Imam Hassan al Banna, menggunakan kedua-dua kalimah patriotisme dan nasionalisme (wataniyyah dan qaumiyyah) dengan menyelaraskan kalimah-kalimah dan penggunaannya sesuai dengan tuntutan dan nilai Islam.

Beliau telah menerima apa yang dinamakan sebagai wataniyyatu 'l-hanin (cintakan negara), wataniyyatu 'l-hurriyyah wa 'l 'izzah (menjunjung nilai-nilai kemerdekaan dan kehormatan), wataniyyatu 'l-fath (semangat juang untuk mengembangkan Islam).

Pada masa yang sama beliau menolak wataniyyatu 'l-hizbiyyah (dasar yang memecah-belahkan ummah supaya mereka saling bermusuhan).

Sementara yang berkaitan dengan nasionalisme atau al-qaumiyyah pula, Imam Hassan al-Banna menerima apa yang diistilahkan sebagai qaumiyyatu 'l-majd, iaitu pendirian yang menghargai dan mengambil pengajaran contoh-contoh terbilang generasi terdahulu, dan juga qaumiyyatu 'l-ummah, iaitu pendirian yang mengutamakan pengorbanan terhadap umat atau kaum kerabat.

Sementara itu, beliau menolak fahaman qaumiyyatu 'l-jahiliyyah iaitu nasionalisme yang berusaha menghidupkan semula budaya jahiliah dan berusaha melepaskan kehidupan dari ikatan Islam.

Beliau menolak fahaman qaumiyyatu 'l-udwan iaitu nasionalisme yang berasaskan kesombongan, ketinggian dan ego diri sehingga membawa kepada penindasan dan pencabulan hak-hak manusia yang lain.

Selain itu, kefahaman terhadap nasionalisme ini juga perlu diperhalusi lagi supaya ia tidak dikelirukan dengan nasionalisme sekular - meletakkan tanah air di atas segalagalanya, hatta agama sekalipun.

Sesungguhnya mencintai tanah air adalah suatu yang baik dan Islamik, tetapi rasa cinta ini mestilah dijelmakan sebagai cinta kepada hakikat sebenar atau cinta rohaniah yang ada kaitan dengan kecintaan kepada Allah SWT.

Allahyarham Dr. Burhanuddin Hilmi mungkin dapat dijadikan contoh sebagai pejuang tanah air dan nasionalis yang berjaya menepati tuntutan pengabdian kepada Allah SWT. Pada masa yang sama berjaya mencurah bakti kepada tanah air.

Kefahaman yang beliau bawa terhadap fahaman Melayu Kebangsaan adalah suatu yang tidak terpisah daripada tuntutan agama. Perjuangan beliau telah berjaya mengangkat fahaman nasionalisme yang mengutamakan prinsip Ketuhanan Yang Maha Esa, bersifat adil dan berjiwa persaudaraan sejagat. Pada masa yang sama juga beliau menolak fahaman nasionalisme lain yang dianggap sempit, menindas dan terasing.

Maka dengan itu, pada kesempatan merayakan sambutan kemerdekaan Malaysia kali yang ke-52 ini, penting bagi kita semua untuk kembali menggarap kefahaman terhadap kemerdekaan ini dengan lebih mendalam dan mantap.

Islam membawa pengertian yang jauh lebih menyeluruh dan lebih menggarap permasalahan sebenar. Islam mahu kemerdekaan di mana kalimah Allah lebih tinggi dari segala kalimah. Kemerdekaan insan adalah muqaddimah kepada segala bentuk kemerdekaan yang lain.

Perjuangan kemerdekaan memerlukan jiwa kental yang hanya dapat dibekalkan oleh Islam, iaitu jiwa yang memiliki pandangan dan memahami dimensi perjuangan dan bebanan yang harus dipikul.

Mereka yang memahaminya dalam konteks 'ubudiah dan kewajiban menegakkan Islam secara sempurna sahaja yang sanggup berkorban untuk satu perjuangan yang panjang. Perjuangan untuk kemerdekaan kemanusiaan seluruhnya bukan sekadar perjuangan untuk mendapat sebidang tanah atau kepuasan membalas dendam kepada penjajah.

Negara bangsa yang ditubuhkan atas dasar wataniah atau tanah air semata-mata dan dengan fahaman kebangsaan yang sempit dan kabur hanya akan mempunyai kedaulatan untuk mengurus hal-hal kebajikan rakyat semata-mata. Adapun hal-hal yang berkaitan politik, pendidikan, keamanan dan ekonomi, maka ia akan terus berada di bawah telunjuk hegemoni kuasa tunggal dunia.

No comments:

Post a Comment