Tuesday, October 6, 2009

JAMUAN RAYA ZA'BA 09


Sememangnya tidak dapat dinafikan betapa ketibaan bulan Syawal yang mulia amat dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam seantero dunia sebagai tanda kemenangan kita mengharungi bulan Ramadhan yang telah berlalu. Setelah sebulan kita berpuasa di bulan Ramadhan bagi menahan nafsu lapar dahaga dan seumpama dengannya, kini tibalah masa kita menyambut hari raya dengan penuh rasa gembira bersama sanak saudara, rakan-rakan seperjuangan serta muslimin muslimat yang lain. Di kesempatan inilah kita saling bermaafan sesama insan dan menziarahi antara satu sama lain tanpa mengira bangsa dan agama. Bagi masyarakat Malaysia, sambutan rumah terbuka sememangnya telah menjadi kebiasaan untuk diadakan yang bertujuan mengeratkan lagi perpaduan rakyat yang berbilang kaum di negara ini.

Perkara ini turut dimeriahkan lagi dengan sambutan hari raya yang diadakan di peringkat kampus. Setelah puas beraya di kampung, para mahasiswa pasti ingin bergembira untuk beraya bersama-sama rakan-rakan seperjuangan mereka di menara gading. Oleh yang sedemikian, Kelab Kebudayaan Melayu Kolej Kediaman Za’ba bersama barisan JIK JTK kolej berkenaan telah mengadakan Jamuan Hari Raya Za’ba 2009 pada 30 September yang lalu. Jamuan yang berkonsepkan 1Malaysia ini telah dihadiri seluruh warga Kolej Kediaman Za’ba tanpa mengira usia, bangsa dan agama.

Jamuan ini telah berlangsung di gelanggang futsal memandangkan dewan makan kolej ini masih dalam proses pengubahsuaian. Menggunakan konsep yang agak santai, jamuan pada malam ini dimeriahkan lagi dengan persembahan karaoke oleh para pelajar di samping juadah hari raya yang menyelerakan. Antara agenda majlis tersebut adalah pencarian pemenang Putera dan Puteri Raya dan juga pemberian hadiah kepada pemenang pertandingan sepanjang sambutan Festival Kemerdekaan Za’ba yang telah berlangsung sebelum ini.

Presiden Kolej Kediaman Za’ba turut berucap dalam majlis tersebut dan beliau mengambil kesempatan ini untuk memberi amaran tegas kepada pelajar-pelajar yang bermain mercun di sekitar kawasan kolej yang telah menganggu ketenteraman warga kolej ini. Beliau turut memberi penekanan agar warga kolej tersebut sentiasa aktif dalam memberi komitmen dalam setiap projek yang diadakan sama ada di peringkat kolej mahupun di peringkat kampus di samping memberi tumpuan dalam pelajaran memandangkan peperiksaan semakin hampir.

Menurur pengarah jamuan, saudara Muhammad Farid Bin Hassan Hassaari, pelajar Tahun Pertama Fakulti Bahasa dan Linguistik, program ini sememangnya banyak memberi pengalaman kepada beliau dalam menguruskan sesebuah organisasi. Hal ini demikian kerana, program berkenaan diuruskan sepenuhnya oleh pelajar Tahun Pertama Sesi 09/10 di samping turut dibantu oleh para senior yang lain.

“Sambutan yang menggalakkan daripada warga kolej ini sememangnya telah memeriahkan lagi sambutan hari raya pada malam itu”, katanya.

Tahniah diucapkan kepada barisan JIK JTK dan Kelab Kebudayaan Melayu Kolej Kediaman Za’ba kerana telah berjaya mengadakan sambutan hari raya ini. Semoga objektif ke arah perpaduan mampu tercapai demi menyahut cabaran 1Malaysia oleh Perdana Menteri negara. Penulis amat berharap agar para mahasiswa mengambil kesempatan di bulan yang mulia untuk saling bermaafan atas kesalahan yang dilakukan sama ada secar zahir atau batin dalam kita menanti untuk menduduki peperiksaan yang akan menjelang tidak lama lagi.


Disediakan oleh : Sa’aidah binti Sukar (Setiausaha JIK JTK Kolej Kediaman za’ba)

1 comment:

  1. Tahniah diucapkan kpd berisan kelab kebudayaan Melayu serta barisan JTK/JIK serta Koordinator kolej za'ba yg memastikan semua berjalan lancar & penuh meriah.Tanpa mengira bangsa & agama ramai yg memberi sokongan dgn hadir sambil bermaaf-maafan.sikap sebeginilah yg perlu diteruskan & ditunjukkan.Tahniah diatas perlaksaan yg dilakukan junior tahun pertama yg melaksakan sepenuhnya program ini dari mula hingga habis program.Teruskan usaha yg murni ini & KAMI BERSATU.ONCE ZABAHAN ALWAYS A ZABAHAN.

    ReplyDelete