Tuesday, February 9, 2010

Palapes di IPTA Menjelang 2012


KUALA LUMPUR 8 Feb. - Menjelang 2012, semua 20 buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan mempunyai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) masing-masing bagi melahirkan mahasiswa bersemangat patriotik tinggi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Palapes juga akan menjadi wadah terbaik untuk mencapai gagasan 1Malaysia apabila semua rakyat diberi peluang berbakti mempertahankan negara.

Katanya, sehingga kini, sebanyak 15 IPTA mempunyai Palapes kecuali Universiti Malaysia Pahang, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Malaysia Kelantan dan Universiti Darul Iman.

"Saya telah menyenaraikan sasaran ini sebagai sebahagian daripada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian yang perlu dicapai menjelang 2012.

''Hasrat penubuhan ini ekoran permohonan daripada lima buah universiti tersebut,'' jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyambut delegasi Palapes IPTA dan upacara pemakaian pangkat kepada Komandan Palapes Universiti Malaysia Terengganu, Prof. Dr. Aziz Deraman di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, kos keseluruhan bagi memastikan kelancaran program memperkasakan pasukan Palapes di semua IPTA dalam masa dua tahun itu dijangka mencecah RM10 juta.

Katanya, program hampir sama turut dilaksanakan di negara-negara maju melalui penubuhan 'Rejimen Universiti' yang terbukti berkesan melahirkan modal insan cemerlang.

Tambahnya, dengan penyertaan lima buah IPTA lagi, beliau menjangkakan jumlah anggota sama ada Palapes Darat, Laut dan Udara akan meningkat seramai 1,200 orang lagi daripada 3,963 anggota pada masa ini.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan jumlah kecil itu, Ahmad Zahid berkata, kementerian sebenarnya mahu keanggotaan yang lebih ramai, tetapi terpaksa akur dengan faktor peruntukan yang kecil.

Katanya, kerajaan membelanjakan RM8.2 juta setahun bagi menguruskan aktiviti dan elaun latihan serta pakaian, tidak termasuk gaji tenaga pengajar serta pembinaan kemudahan infrastruktur.

No comments:

Post a Comment