KUALA LUMPUR 19 Nov. - Institusi pengajian tinggi (IPT) boleh membantu mempercepatkan proses industrialisasi negara di samping meningkatkan nilai modal insan secara berterusan.
Sehubungan itu, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, IPT perlu menjalinkan jaringan kerjasama berstruktur dengan pihak industri dan perdagangan supaya wujud kesesuaian di antara kedua-dua pihak terutama dari segi tenaga kerja.
"Ini bagi memastikan modal insan yang dihasilkan dari IPT menepati dan memenuhi kehendak serta keperluan industri dan perdagangan sesuai dengan keadaan semasa.
"Ini kerana IPT tidak lagi boleh dianggap tempat untuk menimba ilmu teori semata-mata tetapi berperanan besar mewujudkan hubungan erat dengan industri juga ," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Interaksi Universiti Utara Malaysia (UUM) Bersama Majikan 2009 yang turut dihadiri Naib Canselor UUM, Tan Sri Dr. Nordin Kardi di sini hari ini
Rafidah yang merupakan profesor adjung di Kolej Perniagaan UUM berkata, IPT perlu memastikan siswazah yang dilahirkan mempunyai daya kebolehpasaran yang tinggi selain mempunyai pengetahuan terkini mengenai industri dan perdagangan.
"Pihak IPT perlu memahami dinamisme dan perubahan di dalam profil pasaran dan persaingan industri supaya dapat disesuaikan dengan kurikulum, latihan serta pendekatan pengajaran," katanya.
Rafidah berkata, sepanjang berkhidmat di dalam kerajaan dan melibatkan sektor industri serta perdagangan, beliau menerima banyak maklum balas daripada sektor itu mengenai siswazah-siswazah tempatan yang adakalanya langsung tidak dapat memenuhi keperluan pasaran semasa.
"Antara kekurangan yang selalu diperkatakan adalah tahap kefahaman bahasa Inggeris yang amat penting dalam sektor industri hari ini.
"Selain itu, wujud jurang yang nyata antara apa yang dipelajari siswazah di IPT dengan apa yang mereka aplikasi apabila menyertai sektor industri dan perdagangan," katanya.
Katanya, ia jelas menunjukkan konsep kebolehpasaran siswazah amat berkait rapat dengan sejauh mana keupayaan dan kebolehan seseorang itu dapat diterima baik di dalam pasaran terutama sektor industri dan perdagangan pada hari ini.
No comments:
Post a Comment