Sunday, November 15, 2009

RM760,000 bantu pelajar di Padang

KUALA LUMPUR 14 Nov. - Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM760,000 kepada 380 pelajar Malaysia yang menuntut di Padang, Sumatera sebagai sumbangan akibat bencana gempa bumi Oktober lalu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peruntukan tersebut diumumkan kepada pihaknya selepas Kabinet memberi kelulusan baru-baru ini.

Beliau berharap sumbangan itu dapat membantu meringankan beban para pelajar yang turut terlibat dalam kejadian gempa bumi.

''Setiap seorang akan mendapat kira-kira RM2,000. Bagaimanapun, wang tersebut masih belum diberikan lagi kepada pelajar kerana Kabinet baru sahaja luluskan.

''Kerajaan memang berhasrat untuk menyumbang sendiri kepada pelajar. Kita tidak mahu menggunakan duit sumbangan daripada kutipan orang ramai kerana itu khusus untuk mangsa-mangsa bencana,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Kepimpinan Global Rakan Muda Malaysia di sini hari ini.

Khaled berkata, sehingga hari ini, kira-kira 170 pelajar negara ini yang mengikuti pengajian di Padang telah kembali ke kampus masing-masing untuk melanjutkan pelajaran.

Menurutnya, kementerian tidak melarang para pelajar terbabit untuk pulang menyambung pengajian di Indonesia, malah pihaknya juga tidak memaksa mereka melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi tempatan.

Mengenai tahap keselamatan para pelajar yang ingin meneruskan pengajian di Padang, kata Khaled, kerajaan akan memantapkan lagi usaha menguatkuasakan Prosedur Operasi Standard (SOP) di Padang.

Jelas beliau, langkah tersebut bagi memastikan Kerajaan Malaysia sentiasa siap sedia jika berlaku sebarang bencana.

''Kita bukan mengharapkan bencana tetapi memandangkan Indonesia merupakan negara yang terdedah dengannya, maka kita perlu bersiap sedia,'' jelasnya.

No comments:

Post a Comment