Wednesday, December 2, 2009

Universiti digesa proaktif komersialkan produk R&D

KUALA LUMPUR: Semua universiti tempatan digesa mewujudkan mekanisme dan strategi baru untuk mempromosikan produk hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) masing-masing ke dalam pasaran.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin, berkata universiti perlu lebih proaktif keluar memasarkan produk R&D mereka ke sektor swasta dan tidak boleh lagi mengharapkan sebaliknya.

"Universiti perlu ada strategi untuk pasarkan produk R&D mereka. Saya harap universiti keluar dan mencari sektor swasta dan tidak hanya menunggu syarikat swasta datang kepada mereka," katanya selepas merasmikan Terowong Angin Berkuasa Rendah yang dicipta Fakulti Kejuruteraan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), semalam.

Beliau berkata, universiti juga perlu tingkatkan R&D supaya memperoleh hasil lebih inovatif dan memenuhi tuntutan pasaran.

"Tidak guna menang banyak pingat emas dalam pertandingan tetapi tidak mampu memasarkan hasilnya. Kita lebih gembira jika hasil penyelidikan itu dapat dipasarkan dan digunakan dengan meluas," katanya.

Beliau berkata, kejayaan ekonomi yang berasaskan inovasi seperti yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bergantung kepada produk R&D universiti tempatan.

"Kejayaan ekonomi berasaskan inovasi bergantung kepada apa yang dilakukan dalam universiti. Kita tiada pilihan dan kita tidak boleh kekal sebagai negara yang berpendapatan sederhana untuk selama-lamanya," katanya.

Justeru, beliau berkata, produk terowong angin yang dihasilkan UIAM itu adalah antara contoh hasil R&D berinovasi yang diperlukan negara.

No comments:

Post a Comment