Friday, April 30, 2010

BERSAING MENUNTUT ILMU

PELUANG luas mahasiswa asing menyambung pengajian di negara ini memberi dimensi baru kepada sektor pendidikan negara meskipun terpaksa memikul pelbagai cabaran.

HARMONI...masyarakat tempatan dan asing boleh jalani hidup harmoni  sekiranya menghormati budaya dan cara hidup masing-masing.
HARMONI...masyarakat tempatan dan asing boleh jalani hidup harmoni sekiranya menghormati budaya dan cara hidup masing-masing.
GUNA PELUANG...peluang melanjutkan pengajian harus digunakan  dengan sebaiknya dan bukan mendatangkan masalah di negara orang.
GUNA PELUANG...peluang melanjutkan pengajian harus digunakan dengan sebaiknya dan bukan mendatangkan masalah di negara orang.

Penjanaan ekonomi, pertumbuhan pelbagai institusi pengajian tinggi selain pengiktirafan dunia luar menjadi bukti kemampuan negara menyediakan hub pendidikan bertaraf global manakala peningkatan gejala sosial, diskriminasi hak serta pelbagai isu sensitif bagaikan kudis dalam masyarakat.

Meskipun mahasiswa tempatan masih mempunyai keupayaan menunjukkan persaingan, kebanjiran mahasiswa asing sedikit sebanyak menggugat kerana mereka lebih berani bersuara serta tahu menegakkan hak masing-masing.

Perbezaan cara hidup dan budaya serta tidak mempunyai perasaan sensitif terhadap budaya tempatan memburukkan lagi keadaan.

Ada bersikap keras kepala menjadikan institusi pengajian tinggi (IPT) negara ini milik sendiri sehingga mengetepikan hak mahasiswa tempatan.
Natijahnya, mahasiswa tempatan terpinggir, memprotes dalam diam dan dibelenggu persepsi negatif sekali gus menjejaskan usaha menjana kecemerlangan negara.

Persoalannya, adakah benar kedatangan mereka menggugat keistimewaan dan hak mahasiswa tempatan sekali gus menjadi malapetaka besar kepada negara sedangkan pada masa sama kita berusaha menjadikan negara hub pendidikan terkemuka dunia.

Pengarah Bahagian Pembangunan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Nor Asiah Mohamad, berkata kehadiran mahasiswa asing jangan dijadikan isu menyekat mahasiswa tempatan kerana dunia pendidikan adalah bersifat global dan terbuka.

Beliau berkata, persaingan menuntut ilmu terbuka dan sesiapa sahaja berpeluang mempertingkatkan pengetahuan di institusi seluruh dunia.

"Dunia pendidikan hari ini sudah maju, jadi semua mempunyai hak belajar dan menuntut ilmu. Mengapa mesti menyekat kehadiran dan peluang orang luar sedangkan tidak salah jika mahu menambah pengetahuan sedia ada.

"Kerajaan juga sudah berusaha keras menjadikan negara ini hub pendidikan dunia dan wajar disokong.

"Mahasiswa tempatan perlu lebih berani menyahut cabaran ini kerana mereka bukan hanya berdepan kelompok masyarakat sendiri tapi seluruh dunia," katanya.

Berdasarkan statistik 2003-2007 Kementerian Pengajian Tinggi, sebanyak 176 negara menghantar pelajar mereka ke negara ini dengan jumlah terbesar dari China, Indonesia, Bangladesh dan Arab Saudi.

Malaysia kini menampung kira-kira 69,000 pelajar asing di pelbagai institusi tempatan.

Meskipun mereka datang menuntut ilmu, ada juga 'melencong' visa belajar dengan melakukan perbuatan tidak bermoral.

Menurutnya, masalah sosial tidak dapat dielakkan kerana cara hidup dan kebudayaan berbeza tetapi jangan cepat melatah sebelum mengetahui kebenaran.
"Ada juga terbabit dengan masalah sosial tapi jumlahnya kecil.

"Malangnya, akibat perbuatan itu, semua pihak mendapat nama busuk. Ia amat berbahaya kerana bukan saja memberi impak negatif kepada institusi pengajian dan masyarakat tapi negara," katanya.

Katanya, mahasiswa tempatan jangan melatah atau diselubungi rasa rendah diri sebaliknya menggunakan peluang itu untuk mendapatkan ganjaran.

"Kedatangan mereka harus menaikkan semangat dan memberi satu perbandingan baru. Kita belajar bagaimana mereka melakukan sesuatu dan memperbaiki kekurangan sedia. Itu lebih baik daripada terus memberi kritikan atau dibelenggu rasa tidak puas hati.

"Jangan bimbang mengenai hak kerana mahasiswa tempatan sentiasa dijaga dan mendapat keistimewaan di negara ini. Dibandingkan mahasiswa asing, mereka terpaksa berjuang mendapatkan yang terbaik, katanya.

Beliau juga kurang bersetuju mahasiswa asing dikatakan membolot peluang pendidikan sebaliknya faktor itu berpunca daripada mahasiswa tempatan.

"Hakikatnya, mahasiswa kita suka berdiam diri dalam kelas dan bersikap pasif. Dari segi pencapaian, mereka setara serta mampu membina kecemerlangan masing-masing.

"Bukan semua mahasiswa asing pandai dan berani, begitu juga mahasiswa kita. Jadi tidak adil memberi penilaian bahawa mereka boleh melakukan semua perkara.

"Kejayaan memerlukan usaha berterusan, bukan sekelip mata. Jika benar mahasiswa tempatan rasa tercabar mereka harus ubah pandangan dan cara berfikir," katanya.

Mahasiswa Ijazah Sarjana Pentadbiran, Shabbir Showkot Emran Abdus Sattar, berkata dia terpaksa melalui pengalaman berbeza apabila membuat keputusan menyambung pengajian di negara ini.

Sering disalah anggap sebagai warga kelas kedua, dia kurang bersetuju apabila dikatakan mahasiswa asing sering diberi keistimewaan.

"Kami tidak dapat apa-apa keistimewaan kerana kedatangan hanya untuk belajar, rasa diterima dan selamat. Bagaimanapun, kerana masalah ditimbulkan orang lain, kami terkena jua tempiasnya.

"Kebanyakannya menganggap kami bawa masalah, mengganggu dan menakutkan rakan lain. Dalam konteks ini, salah faham ini harus diperbetulkan supaya tidak timbul isu negatif," katanya.

-www.hmetro.com.my

Wednesday, March 24, 2010

Cadangan Wajib BM Kepada Pelajar Asing


Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Bina hubungan baik dengan masyarakat setempat

NILAI: Kementerian Pengajian Tinggi sedang membuat kajian untuk mewajibkan subjek Bahasa Melayu kepada pelajar asing bagi membina hubungan lebih baik antara pelajar itu dengan masyarakat setempat, kata Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, pelajar terbabit akan mengambil Bahasa Melayu untuk tujuan komunikasi, supaya mereka faham percakapan orang lain ketika keluar membeli barang di kedai atau sebagainya.

“Kita bukan wajibkan mereka ambil Bahasa Melayu ilmiah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penubuhan Kolej Universiti Linton dalam kawasan Kolej Lagenda di Mantin dekat sini semalam. Semalam Kolej Linton mendapat pengiktirafan daripada kementerian bagi membolehkan institusi dari Ipoh itu dinaikkan ke taraf kolej universiti.

Mohamed Khaled berkata, sekurang-kurangnya pelajar asing boleh bercakap bahasa Melayu dan ini boleh membantu mereka memberi penjelasan kepada anggota keselamatan jika timbul masalah apabila ditahan akibat masalah komunikasi dengan orang tempatan.

Sementara itu, beliau meminta masyarakat negara ini mengubah persepsi buruk terhadap pelajar asing kerana sumbangan mereka terhadap pembangunan negara ini cukup banyak.

Mohamed Khaled berkata, masyarakat negara ini salah sangka apabila menganggap kebanyakan pelajar ini yang sebahagiannya dari Afrika serta Asia Barat menyumbang kepada kadar jenayah, sedangkan peratus mereka yang terbabit sangat kecil.
Katanya, kebanyakan mereka datang dari negara kurang membangun dan mahu belajar sesuatu daripada institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Beliau berkata, masyarakat harus ingat, pada awal kemerdekaan kerajaan menghantar ramai anak watan belajar di luar negara dan bayangkan jika mereka ini dilayan dengan buruk sudah tentu Malaysia terus ketinggalan.

“Kita sudah lalui pada masa itu dan sekarang ini giliran orang lain, keduanya kita harus faham bahawa mereka orang asing dan tetap memberi sumbangan kepada ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata, persepsi untuk menerima pelajar dari mana-mana benua sekali pun perlu kerana kedatangan mereka adalah satu pengiktirafan betapa kukuhnya dan kuatnya penyediaan ilmu yang kita dapat sediakan. – Bernama

Friday, February 26, 2010

SELAMAT MAJU JAYA BARISAN MPMUM 2009/2010


Pada 25 Februari 2010,majlis penyerahan watikah pelantikan Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya(MPMUM) sesi 2009/2010 baru sahaja dilangsungkan dengan jayanya.Watikah pelantikan telah disempurnakan oleh Naib Canselor Universiti Malaya, Yang Berbahagia Datuk Prof. Dr. Ghauth Jasmon.SPKUM ingin merakamkan ucapan tahniah dan selamat berkhidmat dengan baik kepada semua yang dilantik.Semoga segala kebajikan mahasiswa dapat dijaga dan tidak diabaikan sama sekali serta dapat mengharumkan nama varsiti tercinta ini.SPKUM juga mengharapkan suatu kerjasama dapat dijalinkan antara MPMUM dan SPKUM dalam membela kebajikan dan perpaduan di kalangan mahasiswa sekaligus mengenepikan segala sentimen dan kepentingan diri pihak yang tidak bertanggungjawab.Berikut adalah senarai ahli MPMUM sesi 09/10:

Yang Dipertua - Khairul Anuar Abu Kasim
Naib Yang Dipertua - Tee Wooi Keat

Timbalan Naib Yang Dipertua I - Muhamad Ilyas Zambri
Timbalan Naib Yang Dipertua II - Gan Kwong Chuan
Timbalan Naib Yang Dipertua III - Sangitha a/p Mothayapan

Setiausaha - Rahmah Husna Baharudin
Timbalan Setiausaha I - Gan Ming Chiek
Timbalan Setiausaha II - Mohd Syukri Mohd Taib

Bendahari - Koo Wei Juin
Timbalan Bendahari I - Lai Wen Jae
Timbalan Bendahari II - Ashree Azhar

Pengerusi Akademik dan Penyelidikan - Wong Kee Cheong
Exco:
Goh Seong Ling
Mohamad Hafiz Ilyas

Pengerusi Penerangan dan Penerbitan - Nor Haslinda Abdul Karim
Exco:
Lim Jee Sing
Muhamad Syafiq Badrishah

Pengerusi Kepimpinan, Kerohanian, dan Pembangunan Insan - Ahmad Razali Abdul Razak
Exco:
Goh Chin How
Fitriani Ilyas Rasjid

Pengerusi Sukan, Kesenian, dan Kebudayaan - Mohd Hairil Zainal Abidin
Exco:
Chang Chin Nam
Nurul Husna Azmi

Pengerusi Hal Ehwal Wanita - Siti Fairus Abdul Rahman
Exco:
Farah Atikah Abdul Razak
Siti Zuraini Mohd Jenan

Pengerusi Ekonomi, Keusahawanan, dan Kerjaya - Noor Izzati Che Noh
Exco:
Lee Keang Kiet
Yasmin Mohamed Yusof

Pengerusi Penginapan Kolej Kediaman - Mohamad Shahir Abdul Rahim
Exco:
Ahmad Fadhlurrahman Ahmad Hidayat
Nur Dalilah Mokhtar

Pengerusi Penginapan Luar Kampus - Mohd Yusoff Saharuddin
Exco:
Maharathan a/l Maniam
Mohd Fadzil Jamal

Pengerusi Perhubungan, Pengantarabangsaan, dan Komunikasi Korporat - Chan Yee Fei
Exco:
Siti Nadzirah Majeed
Husna Khairany Mohammad Husni

Pengerusi Kebajikan dan Aduan - Nurfahmin Zaidi
Exco:
Chan Kheng Fai
Mohd Syahid Mohd Zaini

Atlet IPT bakal dapat keistimewaan



SIMBOLIK... Khaled menyepak bola sebagai tanda pelancaran Liga Bola Sepak IPT Piala Menteri Pengajian Tinggi 2010 di Kompleks Sukan Universiti Putra Malaysia, Serdang semalam.


ATLET institut pengajian tinggi (IPT) yang mewakili negara dalam mana-mana kejohanan atau temasya sukan antarabangsa akan diberi kelonggaran penangguhan pengajian.

"Kami akan menyediakan pelbagai kemuda- han sukan bagi meningkatkan prestasi mereka dalam bidang sukan.

"Kalau perlu, mereka akan diberikan keisti- mewaan penangguhan tempoh pengajian sekiranya mereka mengharumkan negara dalam arena sukan antarabangsa," kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mohamed Khaled Nordin.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan Insentif Kecemerlangan Sukan Atlet IPT 2009 dan pelancaran Liga Bola Sepak IPT Piala Menteri Pengajian Tinggi 2010 di Kompleks Sukan Universiti Putra Malaysia, Serdang semalam.

Khaled berkata, kementerian amat komited untuk melahirkan siswa yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga dalam aktiviti ko-kurikulum.

"Mata kredit juga akan diberikan dalam akti- viti ko-kurikulum bagi setiap kejohanan yang disertai atlet mahasiswa dan pada Sukan SEA di Laos, tahun lepas di mana mereka menyum- bang 49 daripada 139 pingat kepada negara," katanya.

Menurut beliau, kementerian juga giat menjalankan pelbagai aktiviti sukan antaranya pertandingan Liga Bola Sepak Piala Menteri Pengajian Tinggi untuk mencungkil bakat baru serta berhasrat untuk melahirkan 30 peratus pemain bola sepak di kalangan atlet mahasiswa.

Ketika berucap pada majlis itu, Khaled berkata, kementeriannya sedang menimbangkan untuk menyediakan jaminan insurans kepada atlet mahasiswa khususnya bagi menjaga kebajikan dan meningkatkan motivasi mereka untuk terus menyerlah dalam sukan.

"Melalui perbincangan awal dengan beberapa syarikat insurans, didapati penyediaan insurans kepada atlet ini merupakan satu inovasi yang julung kali dilaksanakan di negara ini.

"Diharapkan usaha ini dapat dijayakan dan seterusnya meningkatkan motivasi atlet dalam mengejar kejayaan," katanya.

Pada majlis itu, seramai 36 atlet yang berjaya menyumbang pingat dalam beberapa kejohanan peringkat dunia dan antarabangsa sepanjang tahun lepas menerima insentif berjumlah keseluruhan RM155,000 termasuk komputer riba dan baucar di bawah Skim Kecemerlangan/ Kebajikan, Insentif dan Penyelidikan Sukan (SKIPS).

Sunday, February 21, 2010

Siasat nikah 'pelik' di IPTA

JOHOR BAHRU 20 Feb. - Jabatan agama diminta menyiasat dakwaan tujuh 'pasangan pengantin' telah dinikahkan oleh rakan sekuliah di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di ibu negara.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sehingga kini, pihaknya belum menerima laporan berhubung kegiatan tersebut dan menyerahkan kepada jabatan agama untuk meneliti kes itu terlebih dahulu.

"Sekiranya apa yang dilakukan oleh pelajar yang terlibat itu salah, kita akan ambil tindakan susulan," katanya pada sidang akhbar selepas program perasmian penutup Latihan Akuakultur Usahawan Siswazah di Kampung Kong Kong, Masai di sini hari ini.

Semalam, sebuah akhbar tabloid melaporkan mengenai majlis pernikahan di sebuah IPTA di ibu negara di mana pengantin, saksi, wali, tetamu dan tok kadi terdiri daripada rakan sekuliah.

Mohamed Khaled meminta pihak pentadbiran universiti sentiasa memantau kegiatan penuntut mereka agar tidak melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang dan peraturan.

Dalam perkembangan lain, beliau menyarankan institusi pengajian tinggi awam dan swasta, politeknik dan kolej komuniti supaya mengikut langkah Universiti Malaya (UM) menubuhkan pusat keusahawanan di universiti masing-masing.

Katanya, Pusat Pembangunan Usahawan Siswazah Malaysia (Pusmal) telah berjaya melatih 20 graduan dari pelbagai institusi pengajian tinggi dalam projek ternakan ikan sangkar usahawan siswazah (Aquasympreneur).

"Kita berharap agar institusi pengajian tinggi yang lain mengikut jejak UM untuk melahirkan lebih banyak graduan dalam bidang keusahawanan.

"Kita mahu keusahawanan dijadikan sebagai kerjaya pilihan kepada graduan yang bercita-cita menjadi majikan bukannya pekerja," ujarnya.

Friday, February 12, 2010

108 Penuntut Universiti Malaya ke Jepun

KUALA LUMPUR 11 Feb. - Seramai 108 penuntut Rancangan Persediaan Khas ke Jepun (RPKJ) dari Universiti Malaya (UM) akan berlepas ke negara itu bulan depan untuk melanjutkan pengajian peringkat sarjana muda.

Mereka merupakan kumpulan ke-27 sejak RPKJ yang dikendalikan oleh Ambang Asuhan Jepun, Pusat Asasi Sains UM diperkenalkan pada 1982.

Pro-Canselor UM, Toh Puan Dr. Aishah Ong berkata, selain meneruskan Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenalkan pada era pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kursus itu juga untuk meningkatkan penguasaan teknologi negara.

"Dalam proses pembentukan negara maju, Malaysia sangat memerlukan teknokrat yang dapat menerima tanggungjawab dan arahan dalam menjalankan tugas masing-masing.

"Penghantaran penuntut ke Jepun merupakan satu bentuk latihan ilmiah dan praktikal untuk melatih pekerja mahir negara," katanya pada majlis penyampaian sijil tamat kursus RPKJ kepada 108 penuntut berkenaan.

Turut hadir Duta Besar Jepun di Malaysia, Masahiko Horie dan Pengurus Besar Sojitz Malaysia Sdn. Bhd., Makoto Mori.

Sementara itu, wakil penuntut, Hawa Alima Abdul Latiff berkata, dia dan rakan-rakannya sudah bersedia dari segenap aspek untuk melanjutkan pelajaran di sana.